Modifikasi
Honda Jazz Modulo Style, Bampar Depan Saja Harga RM8,500!
“Bampar depan sahaja dah harga RM8,500,” kata pemilik Honda Jazz yang mahu dikenali sebagai Arokiey, 35.
Buat Drebar sendiri pun, agak terkejut apabila mendapat tahu bampar Modulo Style yang dipasang pada Honda Jazz ini harganya cukup mahal.
Buat pengetahuan anda, jentera kompak ini mengenakan konsep JDM (Japanese Domestic Market) menerusi model Honda Fit Modulo Style.
Versi Modulo Style diperkenalkan pada tahun 2018 di negara matahari terbit dan ia sangat berbeza terutama pada bampar hadapan dan belakang.
Sekali imbas, bampar hadapan itu diambil daripada karakter Honda Odyssey yang mempunyai jeriji yang besar dan kelihatan seperti bulat.
Berbalik kepada Honda Jazz ini, Arokiey memaklumkan bahawa kenderaannya itu adalah satu-satunya model lengkap yang menggunakan kit badan Modulo Style di negara ini.
Tidak cukup dengan kit badan itu sahaja, banyak juga komponen lain turut ditukar seperti menggunakan lampu JS Racing versi 4 keluaran 2019. Tahukah anda, lampu itu berharga RM5,800.
Bagi lampu belakang pula, ia dipadankan dengan Honda Fit RS Facelift dan bagi kaki ubah suai Jazz tempatan, harganya sudah pasti tidak murah.
Lebih tampak sporty dan menarik, jentera itu menggunakan rim Rays Engineering Volk Racing CE 28 bersaiz 16 inci yang dibaluti tayar Yokohama Advan Felva, selain jentera direndahkan dengan suspensi Blizt ZZR.
Di belakang rim itu, ia dilengkapi brek berprestasi tinggi iaitu kaliper dan rotor AP Racing Pro 5000R di hadapan dan belakang rotor AP Racing. Bendalir brek disalurkan hos Mugen bagi keempat-empat brek.
Menjengah di ruang dalamannya, boleh dikatakan sudah tiada komponen asal Jazz buatan Malaysia. Ini kerana semua komponennya ditukar bagi model Fit buatan Jepun sepenuhnya.
Boleh dikatakan, ia banyak menggunakan komponen Fit Facelift RS daripada Jepun membabitkan bumbung, kulit pintu, pelapik kaki dan papan pemuka.
Namun, apa yang lebih menarik dan tampak mahal adalah kerusi Recaro SR7 Modulo balutan Alcantara yang mana hanya satu-satunya digunakan di Malaysia. Harga bagi kerusi itu sepasang boleh mencecah RM13,000.
Ruang kabin itu juga dipenuhi pelbagai meter tambahan Defi tiga beradik, Defi DSDF dan Defi ZD. Pada masa sama, stereng asal ditukar juga kepada produk Mugen.
Bagi prestasinya, ia tidak menggunakan enjin asal tetapi sudah ditukar ke rangkaian kuasa 1.5L B transmisi manual. Ia adalah enjin Honda Fit RS untuk pasaran Jepun.
Enjin itu tidak dibiarkan standard, tetapi beberapa komponen sudah ditukar membabitkan intake Dry Carbon CRP Tech, pendikit badan JS Racing, saluran udara tempahan khas.
Apa yang paling unik, ia menggunakan klac ‘loceng’ Ogura dan pastinya bunyi sangat menarik, selain menggunakan LSD Cusco RS.
Sementara itu, Arokiey berkata, jentera itu sebenarnya sudah tiga kali bertukar wajah, yang pertama adalah Fit RS diikuti Fit RS Facelift dan terakhir adalah Modulo Style.
Menurutnya, kenderaannya diubah suai secara berperingkat-peringkat menukar komponen JDM sejak 2017.
“Boleh dikatakan, jentera ini mempunyai 100 peratus komponen JDM, kecuali casisnya sahaja adalah Honda Jazz buatan Malaysia.
“Kos membuat jentera ini, boleh menyamai harga Honda Jazz yang baru. Pada mula, saya pun terkejut dan tidak menyangka melabur wang sebanyak itu,” katanya yang juga bekerja di bengkel Fastlap Auto Work, Shah Alam, Selangor. Selain itu, dia turut terbabit sebagai pelumba dalam siri perlumbaan tempatan.
Spesifikasi
Luaran:
- Bamper depan Modulo
- Skirt sisi Modulo
- Spoiler Modulo
- Lampu utama hadapan JS Racing V4
- Lampu belakang Fit RS Facelift
- Pemegang pintu krom Honda Access
- Cermin bagi cermin sisi Seeker
- Cermin pintu Honda Fit
- Rim CR28 16 inci
- Tayar Yokohama Advan Fleva
- Suspensi Blitz ZZR
- Ekzos JS Racing
Dalaman:
- Defi 3 beradik
- Defi DSDF
- Defi ZD
- Ultra indicator
- Stereng Mugen
- Boss Kit Spoon
- Kerusi Recaro SR7 Modulo Alcantara
- Sistem audio Black Series Carrozzeria
- Woofer slim Carrozzeria
- Speaker Carrozzeria
- Arm bar Cusco
- Perehat tangan, lampu speaker, konsul gear dan lampu dalaman Honda Access
- Pelapik kaki Fit RS Facelift
Enjin:
- 1.5 liter manual
- Intake dry carbon LRP Tech
- Exzos JS Racing
- LSD Cusco RS 1.5way
- Klac Ogura kepingan tunggal
- Sistem udara binaan khas
Must-Watch Video