Antarabangsa
Honda PCX 150 Versi Trike Ciptaan Eternity
Honda PCX 150 tiga roda ini bukan model standard keluaran kilang Honda, tetapi satu projek modifikasi oleh sebuah bengkel pakar di Jepun iaitu Eternity.
Eternity mengubahsuai tetapan roda belakang dan sistem pacuan asal untuk menjadi sebuah skuter trike dengan menggunakan dua unit rim lebar.
Apa yang membuatkan skuter trike ini kelihatan kemas ialah tambahan fender pada kedua-dua roda belakang, dicipta selari dengan keluk badan PCX 150. Setiap aspek binaan dikatakan menitikberatkan soal imbangan dan kestabilan skuter.
Pakar mekanik Eternity memilih set kit trike Boltoora-C keluaran Performance Brothers, sebuah syarikat yang terkenal dengan tawaran pelbagai kit naik taraf untuk motosikal dan skuter.
"Kit Performance Brothers adalah buatan Jepun dengan kualiti kukuh serta mudah dipasang pada jentera," kata Ueda dari Eternity.
Sistem pacuan tali sawat ditanggalkan dan beberapa kerja modifikasi dilakukan untuk menggunakan rantai sebagai pemacu rim berukuran 14 inci.
Selain itu, Ueda menambah kotak simpanan barang dengan sokongan braket Willswim di belakang pelana penumpang bagi menjadikan skuter ini sebagai trike gaya touring. Tambahan lain ialah memasang penghadang angin bersaiz besar di hadapan dan gad tangan jenama Asahi.
Eternity turut mengubahsuai hendal dengan menggunakan komponen daripada jenama Proto, kini ada ciri pemanas pendikit minyak untuk tunggangan semasa musim sejuk. Tempat kaki asal pada permukaan lantai digantikan kepada jenis logam dengan kemasan krom keluaran Endurance.
Ciri elektronik skuter PCX 150 trike turut mendapat peningkatan dengan tambahan alat transmisi ETC2.0, perakam GPS dan kamera kereta depan dan belakang daripada Mitsuba. Kamera ini adalah untuk membantu penunggang parkir dengan lebih selamat.
Must-Watch Video