Pada Januari lalu, Honda menaik taraf model Civic Type R 2020 yang dipamerkan pada Acara Tokyo Auto Salon 2020.

Boleh dikatakan agak banyak benda-benda baharu pada model hot hatch itu terutama beberapa penambahbaikan yang membabitkan reka bentuk serta kelengkapan. Namun beberapa hari lalu, Honda melalui akaun Youtube dengan menyiarkan video berhubung ciri-ciri baharu pada Honda Civic Type R 2020.



Apa yang menariknya dalam video itu, ia turut memaparkan sejarah Honda Civic Type R dari generasi pertama menerusi EK9 tiga pintu.

Pastinya mereka yang betul-betul peminat Honda dengan logo merah ini, pasti teruja melihat video berkenaan. Jom saksikan video di bawah.



Bagi tahun 2020, Civic Type R bukan sahaja boleh didapati dalam warna baharu Boost Blue yang bergaya, malah ia juga didatangkan dengan bukaan jeriji yang lebih besar bagi membantu penyejukan enjin.

Selain itu, sistem suspensi kini dipadankan dengan peredam baharu untuk pemanduan harian yang lebih selesa, manakala bushing belakang diganti dengan unit yang lebih keras bagi menghasilkan tahap cengkaman yang lebih tinggi.



Bukan itu sahaja, sistem suspensi bahagian hadapan turut direka semula bagi mendapatkan tindak balas yang lebih segera dengan cara mengurangkan geseran.

Masuk ke dalam kabin, Civic Type R mendapat stereng yang dibalut Alcantara serta tombol gear baharu dengan lontaran yang lebih pendek.

Bagi pasaran Amerika Syarikat, ciri keselamatan dan bantuan pemandu Honda Sensing buat pertama kalinya disertakan secara standard pada semua varian Civic, termasuk Type R.




Seperti sebelum ini, enjin VTEC Turbo 2.0-liter empat silinder menjana 306hp dan 400Nm yang disalurkan ke gandar hadapan menerusi transmisi manual enam kelajuan dan Limited Slip Differential.

Selain mod pemanduan Comfort, Sport dan +R, Civic Type R juga hadir dengan ciri Active Sound Control yang ditugaskan untuk melaraskan tahap bunyi di dalam kabin berdasarkan mod yang dipilih.