Selepas memperkenalkan i20 generasi baharu pada awal tahun ini, Hyundai kembali dengan versi N Line yang hadir dengan penampilan yang lebih sporty.


Bermula dari bahagian hadapan, bahasa reka bentuk ‘Sensuous Sportiness’ yang diaplikasikan pada model hatchback ini diserlahkan lagi menerusi penggunaan bampar yang lebih agresif dan gril ‘cascading’ yang dihiasi dengan lencana N Line. Jika diperhatikan dengan teliti, gril terbabit mempunyai corak yang bermotifkan bendera penamat perlumbaan.


Di belakang, i20 N Line dapat dibezakan menerusi spoiler bumbung dan rekaan diffuser yang lebih menyerlah yang turut menempatkan muncung ekzos berkembar dan lampu kabus berbentuk tiga segi. Rim 17 inci dengan kemasan dua tona melengkapkan imej bertenaga yang cuba disampaikan oleh model ini.


Hyundai menawarkan empat warna iaitu Phantom Black, Aurora Grey, Polar White dan Brass. Pelanggan yang memilih Polar White boleh mendapatkan bumbung dalam warna Phantom Black.


Suasana di dalam kabin diserlahkan dengan tempat duduk sport yang dihiasi dengan jahitan kontras berwarna merah dan logo N Line dan juga stereng N. Turut disertakan adalah set pedal yang diperbuat daripada logam dan tombol gear yang dibalut kulit.


Perlu diingat yang i20 N Line bukanlah model N sepenuhnya, jadi pilihan enjin ditawarkan mungkin akan mengecewakan mereka yang mengharapkan kuasa tinggi.


Terdapat dua pilihan enjin iaitu enjin 1.2-liter MPI dengan 84PS dan enjin 1.0-liter T-GDI dengan 100PS atau 120PS. Hyundai turut menawarkan versi ‘mild hybrid’ yang lebih cekap bahan api serta pilihan transmisi iMT (Intelligent Manual Transmission).


Seperti i20 biasa, versi N Line ini juga dilengkapi dengan teknologi Bluelink dengan Hyundai Live Services serta sistem keselamatan SmartSense.