Pada Januari tahun lalu, Hyundai berjaya mengejutkan industri automotif global dengan memperkenalkan model konsep Elevate di Pameran Elektronik Konsumer 2019 (CES 2019).

Pada awalnya, ramai merasakan pengeluar kenderaan dari Korea Selatan itu cuma mencuba nasib dengan produk kategori Ultimate Mobility Vehicle (UMV).


Kini, nampaknya rancangan itu semakin serius. Hyundai baru mengumumkan penubuhan New Horizons Studio, satu jabatan teknologi akan memberi fokus pembangunan UMW.

Kenderaan luar biasa ini akan digunakan oleh pelanggan yang mahu membuat eksplorasi luar biasa dan permukaan off-road termasuk memasuki kawasan baharu yang belum pernah diteroka mana-mana kenderaan lain.


“Kami mahu mencipta kenderaan transformer pertama dunia, dipanggil Ultimate Mobility Vehicle,” kata Ketua New Horizons Studio dan Naib Presiden Hyundai, John Suh.

Beliau mempunyai pengalaman dalam sektor automotif lebih 35 tahun termasuk memegang beberapa jawatan pending di Pusat Penyelidikan Palo Alto, Universiti Stanford dan General Motors.


Pengalaman dimilikinya membolehkan beliau lebih bersedia untuk versi pengangkutan masa depan. Selain beliau, Ernestine Fu juga menyertai jabatan baharu itu selaku Pengarah Pengurusan Produk.

Model Elevate dari tahun 2019 itu adalah sebuah kenderaan dengan kaki robotik yang boleh meneroka pelbagai jenis permukaan. Kenderaan pelik itu boleh dipandu, berjalan dan memanjat permukaan dengan bantuan empat kaki robot beroda.


Setakat ini, tiada maklumat didedahkan bagaimana mengendalikan model Elevate. Semasa produk itu dipertontonkan pada CES 2019, ia masih berada dalam fasa pembangunan awal.