Hyundai terus memperkembangkan portfolio N Line mereka dengan pengenalan Sonata N Line 2021. Seperti yang dijangka, ia tampil lebih agresif dan bertenaga berbanding versi biasa yang diperkenalkan pada tahun lalu.


Bagi mendapatkan penampilan ini, Hyundai menambah lubang ambilan udara yang besar pada bahagian kiri dan kanan bampar hadapan, lencana N Line pada gril, skirt sisi berwarna hitam dan rim berukuran 19 inci. Bahagian belakang turut diserlahkan lagi menerusi kehadiran spoiler berwarna hitam, diffuser serta sepasang muncung ekzos berkembar.


Di dalam, terdapat kemasan krom hitam pada papan pemuka dan konsol tengah, tempat duduk sport dengan sulaman ‘N’ untuk pemandu dan penumpang hadapan, serta jahitan kontras berwarna merah sebagai penyudah pada bahagian stereng dan tempat duduk.


Maklumat mengenai enjin dan prestasi Sonata N Line masih belum didedahkan namun model itu berkemungkinan besar didatangkan dengan enjin turbo 2.5-liter empat silinder dengan 275hp. Bagaimanapun, terdapat juga laporan yang mengatakan bahawa ia mungkin mempunyai sehingga 290hp.


Buat masa ini, Sonata generasi kelapan boleh didapati dengan dua enjin Smartstream iaitu enjin NA 2.5-liter empat silinder yang menghasilkan 191hp dan 245Nm, dan enjin turbo 1.6-liter empat silinder dengan 180hp dan 264Nm. Kedua-duanya dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan dan pacuan roda hadapan.