Frankfurt Motor Show (IAA) 2019 yang akan membuka tirainya pada 12 September ini bakal menyaksikan kemunculan Hyundai i10 generasi ketiga.

Serentak dengan pengumuman ini, Hyundai mendedahkan satu lakaran rasmi sekali gus memberikan bayangan reka bentuk model hatchback segmen A berkenaan.

Apa yang paling jelas di sini adalah imejnya yang lebih garang berbanding model semasa dengan penggunaan garisan-garisan agresif pada bahagian bonet dan sisi.

Bahagian hadapan pula menampilkan rekaan jeriji yang lebih lebar seakan-akan Aston Martin, ditambah pula dengan lampu nyalaan siang berbentuk bulat yang menjadikan ia lebih menonjol.



Bukan itu sahaja, kehadiran liang udara berbentuk segi tiga pada bampar hadapan bukan sahaja memberikan i10 kelebihan aerodinamik, malah membuatkannya kelihatan lebih lebar. Ukuran lebar, tinggi serta rim juga diperhalusi bagi tujuan yang sama.

Satu lagi ciri unik yang akan ditampilkan adalah tiang C berbentuk X lengkap dengan logo model.

Dengan sasaran untuk menjadi pendahulu segmen, i10 akan turut dilengkapi dengan ciri-ciri terkini seperti sambungan Blue Link, Apple CarPlay, Android Auto, pengecas wayarles dan kamera undur.

Teknologi keselamatan standard pula merangkumi Forward Collision Avoidance Assist yang menggunakan sensor untuk mengesan kehadiran kereta dan pejalan kaki, Driver Attention Warning dan Lane Keep Assist. Ciri High Beam Assist akan turut ditawarkan sebagai pilihan.

Bagaimanapun, kami berharap bentuknya akan sama dengan imej lakaran ini dan memberi nafas baru kepada i10.