Antarabangsa
Inilah Individu Yang Memastikan Peningkatan Kualiti Terhadap Produk Proton
Mungkin ramai antara kita tidak kenal siapa Mohd Shaharuddin Shamsuddin ini. Namun berbeza pula di PROTON, kerana beliau adalah orang penting dalam memastikan polisi dan kualiti dipatuhi mengikut piawaian yang ditetapkan.
Beliau yang memegang jawatan Penolong Pengarah Kualiti Korporat PROTON berkata, sekiranya terdapat sebarang jurang yang ketara antara piawaian yang ditetapkan dengan produk dihasilkan, beliau akan mengambil tindakan susulan untuk membetulkan keadaan itu.
Menurutnya, ia adalah bertujuan memastikan punca masalah dan kaedah pembaikan itu difahami dan tidak berlaku lagi pada masa akan datang.
“Untuk memastikan semua aktiviti pengawasan kualiti dapat dilakukan secara berkesan di kedua-dua kilang di Shah Alam dan Tanjung Malim. Saya perlu membahagikan masa saya dua hari di Shah Alam, manakala di Tanjung Malim selama 3 hari.
“Sebahagian besar daripada masa kerja seharian saya dihabiskan dengan berada di kawasan kilang untuk membuat kerja pengawasan kualiti dan memahami permasalahan yang terdapat di tempat kerja,”katanya.
Menurutnya, beliau akan mencari jalan penyelesaian terbaik untuk memastikan kualiti kereta yang dihasilkan menepati cita rasa pelanggan tanpa sebarang masalah besar selepas jualan.
“Selain itu, saya juga akan memastikan setiap peringkat pekerja dapat memahami budaya Tidak Menerima Kecacatan, Tidak Membuat Kecacatan dan Tidak Melepaskan Kecacatan.
“Pada masa sama, segala permasalahan yang membabitkan kualiti dapat dikenal pasti pada peringkat awal dan diselesaikan secepat mungkin di dalam kilang sebelum ia terlepas kepada pihak pelanggan,” katanya yang kini sudah bertugas 26 tahun di PROTON sejak 1994.
Menurutnya, pada peringkat awal pekerjaan, beliau ditugaskan sebagai seorang pegawai eksekutif Bill of Materials (BOM) di bahagian Production Planning & Control (PPC), Jabatan Pembuatan (Manufacturing).
Katanya, jika dilihat daripada sejarah pekerjaan, jiwanya sentiasa di dalam bahagian pembuatan kerana di situ beliau paling banyak menimba ilmu pengetahuan dari segi teknikal sehingga bahagian produksi serta pengurusan manusia.
“Selepas 22 tahun, saya dilantik sebagai Ketua Jabatan Pengurusan Peningkatan Berterusan (CIMO – Change Improvement Management Office) pada 2016 untuk menguruskan usaha pelan peningkatan pembaikan berterusan di dalam syarikat.
“Terbaru, pada bulan November 2019, saya ditawarkan jawatan Penolong Pengarah Bahagian Kualiti Korporat, di Jabatan Ketua Eksekutif PROTON.
“Rendah diri saya ingin katakan, segala pengalaman yang saya ada, yang ditimba sepanjang saya bekerja, saya ingin sumbangkan kepada kemajuan PROTON, dan saya berbangga mempunyai peluang untuk berbuat demikian,” katanya.
Ketika ditanya apakah perubahan yang paling ketara sebelum dan selepas Geely diganding sebagai rakan kongsi PROTON. Beliau memaklumkan bekerja dengan rakan dan bos dari China memberi peluang kepadanya untuk bertukar pengalaman dan mempelajari sesuatu yang baru dari Geely.
Menurutnya, gandingan itu memberi pembaharuan dari segi keputusan yang dibuat berorientasikan di mana setiap pelan perancangan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang dipersetujui mesti dicapai dan ditepati mengikut masa ditetapkan.
Beliau juga berkata, perubahan lain boleh dilihat ialah dengan peningkatan kualiti yang lebih baik dalam masa singkat selepas pengenalan sistem kualiti audit baru dari Geely, GCPA (Global Customer Product Audit) bagi semua produk Proton.
“Gandingan ini ternyata telah membuahkan hasil dengan mengeluarkan produk lebih menarik dan memenuhi kehendak pelanggan seperti X70, selain model-model dipertingkatkan (facelift) yang lain membabitkan Saga, Persona serta Iriz.
“Ia terbukti dengan peningkatan ketara di atas jualan semua model baru ini dipasaran ketika ini,” katanya.
Beliau berharap gandingan itu akan mengembalikan PROTON berjaya menjadi pengeluar kereta nombor satu di Malaysia dan sekurang-kurangnya ditempat ketiga di ASEAN.
Menurutnya, untuk memastikan impian itu tercapai, PROTON dan Geely sedang giat membuat perancagan yang teliti untuk penghasilan produk-produk yang lebih menarik dan menepati cita rasa rakyat Malaysia.
Katanya, langkah itu adalah amat penting untuk mengembalikan sokongan rakyat Malaysia terhadap semua produk PROTON pada masa hadapan.
Must-Watch Video