Selepas empat tahun diperkenalkan di Thailand, kini giliran Malaysia pula untuk membawa masuk pikap trak Isuzu D-Max versi enjin 1.9 liter Ddi Blue Power.

Biarpun agak lama untuk tiba di negara ini, kehadiran kenderaan itu sebenarnya membawa satu perubahan baharu dalam segmen pikap trak di Malaysia.

Isuzu D-Max 1.9 liter Ddi Blue Power ini boleh dikatakan pikap trak yang pertama di Malaysia menggunakan enjin berkapasiti di bawah 2.0 liter. Enjin berkapasiti kecil itu sebenarnya banyak memberi kelebihan iaitu dari segi penjimatan terutama dalam mengurangkan pembelanjaan anda seharian.



Apakah penjimatan yang bakal anda dapat jika memiliki Isuzu D-Max 1.9 liter Ddi Blue Power berbanding versi enjin 2.5 liter, ini senaraikannya:

Biarpun ia menggunakan enjin lebih kecil, prestasinya adalah lebih baik berbanding enjin 2.5 liter versi sebelum ini. Enjin itu menyalurkan kuasa maksimum sehingga 150 PS dan 350 Nm, manakala enjin 2.5 liter hanya menghasilkan 136PS serta 320Nm. Ini bermakna, kuasanya bagi enjin ini meningkat sehingga 14PS serta 30Nm bagi kuasa torknya.



Dari segi pecutannya, enjin 1.9 liter versi automatik mampu memecut 0-100km/j dalam 13.7 saat, iaitu lebih pantas 1.6 saat berbanding rangkaian kuasa 2.5 liter. Pada masa yang sama, lima kekurangan yang biasa terdapat di enjin diesel telah dikurangkan impaknya untuk membuatkan ia lebih berbaloi untuk dimiliki.

Sebahagian besar peningkatan prestasi enjin berkenaan diperoleh daripada pendekatan baru dalam rekaan, yang antaranya membabitkan rekaan kebuk pembakaran baru, pengecas turbo VGS berkecekapan tinggi, geseran antara komponen enjin yang lebih rendah serta penyuntik bahan api yang lebih tepat dari sistem commonrail bertekanan tinggi.

Unit enjin RZ4E itu memperlihatkan pengurangan 37 peratus bagi kehilangan tenaga mekanikal melalui pengurangan geseran komponen dalaman.



Dilengkapi dengan sistem Kitaran Semula Gas Ekzos (EGR) dan penapis minyak eco, enjin ini mampu memberikan penambahbaikan dari sudut kecekapan bahan api sehingga 19 peratus berdasarkan ujian yang dijalankan di Thailand; pembebasan C02 dan N0x juga lebih rendah.

Dengan mengurangkan geseran dalaman, Isuzu juga memastikan komponen tahan lebih lama. Komponen bertekanan tinggi seperti penyuntik, con-rod, pelaras injap, blok silinder serta head sudah direka semula dan diperkukuh untuk memastikan prestasi serta daya tahannya bertambah sekaligus mengurangkan kos selenggara.

Sistem suntikan commonrail baru pula diperkemas untuk menyediakan atomisasi bahan api yang lebih baik, membolehkan jumlah suntikan yang lebih terperinci. Hasilnya, pembakaran menjadi lebih bersih, menjimatkan minyak, prestasi enjin menjadi lebih baik, pembebasan ekzos lebih rendah dan juga pengurangan gegaran serta bunyi bising.



Penambahbaikan lain yang penting ialah pengurangan berat. Enjin baru ini 56kg lebih ringan berbanding unit 4JK1 2.5-liter sebelum ini. Bagi memanfaatkan lagi perwatakan enjin 1.9 liter ini, ia ditawarkan dengan transmisi enam-kelajuan baru sama ada manual dan automatik.

Kotak gear berkenaan menawarkan nisbah yang lebih rapat untuk rasa pemanduan yang lebih maklum balas, terutamanya bagi julat kelajuan pertengahan, yang membolehkan misalnya pemandu memotong dalam masa yang lebih singkat dan menjadikan pemanduan lebih responsif. Dua nisbah gear yang paling tinggi pula memberikan rasa meluncur yang lebih selesa.

Kini, kami berada di Phuket, Thailand untuk menguji jentera ini. Secara ringkasnya, enjin ini tidak sedikit kedekut untuk menyalurkan kuasa bagi membawa beban pikap trak berkenaan.

Ulasan pandu uji Isuzu D-Max 1.9 liter Ddi Blue Power ini, kami akan siarkan sebelum majlis pelancaran pada 18 September ini. Nantikan ya, memang Padu!