Segelintir penggemar jentera berprestasi tinggi cuba berubah angin apabila lebih berminat untuk memilih kereta dari segmen kompak atau sedan.

Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini, segmen Kenderaan Utilti Sukan (SUV) atau pacuan empat roda mula mendapat tempat di hati ramai pengguna kenderaan yang dahagakan kuasa.

Bermula modifikasi secara minimum dengan menukar rim kemudian menambah bar penghadang dan seterusnya mula merebak ke bahagian enjin seterusnya buat secara keseluruhan.

Ubah suai yang dilakukan sekali gus mengubah persepsi bahawa kenderaan segmen itu bukan sahaja lasak dan kukuh sebaliknya memiliki enjin berkuasa.

Kita sendiri dapat melihat semakin ramai ‘geng-geng’ ini berkeliaran di jalan raya dalam satu kelompok yang besar.

Walaupun pada asalnya ia dipilih atas faktor ruang yang lebih besar, tetapi kini ramai yang mula berjinak-jinak untuk menaik taraf tahap maksimum.

Bukan sahaja luaran tampak sporty, tetapi ada daripada mereka mahu enjin jentera yang berkuasa. Justeru itu, apa yang anda lihat ini jentera berbeza kerana ia sebuah kenderaan untuk perlumbaan drag.

Isuzu D-Max milik saudara Jarr dari Pekan, Pahang ini boleh dikatakan sebuah kenderaan pacuan empat roda lebih dari kebiasaannya.

Dengan kapasiti 3.0-liter berteknologi DOHC 4 silinder sebaris mesin turbo diesel dengan kod pengenalan 4JJ1 ini diubah suai secara keseluruhannya untuk menjadi sebuah jentera lumba drag dengan satu tujuan iaitu kepantasan di litar lurus.

Beberapa komponen enjin ditukar dengan menggunakan komponen berprestasi dalam usaha menaikkan kuasa ke peringkat maksimum.

Malah, ada beberapa komponennya terpaksa ditempah khas termasuklah aci sesondol perlumbaan rekaan PMD, Crankshaft rekaan kustom dari Thailand dan Rod dari ECU Shop.

Bahagian kepala silinder menjalani proses ‘port & polish’ bagi melegakan liang udara untuk aliran udara dan gas ekzos untuk masuk ke kebuk pembakaran enjin dengan sempurna.

Paip getah asal diganti kepada paip dari binaan aloi yang ditempa khas oleh pihak WE Pro Shop yang berpangkalan di Hatyai, Thailand. Paip ini bersambungan ke unit turbo yang dinaik taraf kepada jenis Turbo F55V yang lebih besar kapasitinya.

Sistem transmisi turut diganti dengan kotak gear berbeza ratio binaan khas oleh VGS 2WD daripada Bangkok.

Kotak transmisi ini diperkukuhkan dengan bantuan sistem klac jenama BRC Clutch FullRacing. Sistem elektroniknya juga dibantu oleh ECU Shop Monster Max.

Bagi cengkaman yang lebih baik di permukaan litar lumba, tayar Hoosier Racing Drag Radial membaluti rim Weld Racing Pro Drag. Jika di jalan raya biasa, set rim TE37 berukuran 18 inci dibaluti tayar Nitto NT420.