Antarabangsa
Isuzu Mempercepatkan Proses Serahan Kenderaan yang ditempah sebelum PKP
Isuzu Malaysia akan memberikan keutamaan bagi mempercepatkan serahan, terutama bagi mereka yang sudah membuat tempahan sebelum tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu bermula.
Sejumlah 300 tempahan bagi pelbagai model Isuzu diterima sebelum perintah berkenaan dilaksanakan, dan keutamaan akan diberikan untuk memastikan semua pelanggan menerima kenderaan mereka secepat mungkin selepas operasi perniagaan disambung semula kini.
Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Masayuki Suzuki berkata, adalah menjadi matlamat untuk memastikan semua pelanggan menerima kenderaan Isuzu D-Max baru mereka secepat mungkin.
Menurutnya, usaha sedang dijalankan untuk memastikan tempoh memproses kenderaan menjadi lebih cepat, bermula dari kilang di Pekan, Pahang untuk kemudiannya dihantar kepada pengedar di seluruh negara.
“Proses serahan juga kini diperbaharui dan disesuaikan bagi memastikan pelanggan dan staf dilindungi serta selamat, selari dengan prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan oleh kerajaan bagi membasmi penularan berterusan virus Covid-19,” katanya.
Antara protokol utama termasuk untuk merekodkan suhu badan semua staf sebelum memulakan tugas setiap pagi, penggunaan wajib topeng muka, sanitasi setiap permukaan sentuhan di premis sebanyak tiga kali sehari, sementara kenderaan yang dipamer mahupun milik pelanggan akan disanitasi selepas setiap sentuhan dengan manusia.
Pelawat di cawangan Isuzu juga turut dikehendaki untuk diambil bacaan suhu badan, sementara cecair sanitasi tangan serta topeng muka akan disediakan di semua premis terbabit.
Pelanggan yang datang untuk mengambil kenderaan baru mereka akan dimaklumkan tarikh serahan oleh penasihat jualan dan diberikan penetapan masa khusus untuk mengelakkan keadaan sesak di premis.
Bagi pemilik kenderaan Isuzu yang tempoh jaminan kenderaan mereka telah tamat ketika tempoh PKP secara automatik akan menikmati lanjutan 30 hari bermula 13 Mei 2020. Sementara bagi kenderaan yang sudah terlepas jadual servis yang sepatutnya pula tidak perlu risau kerana jaminan kenderaan tidak akan terkesan disebabkan kelewatan itu.
Pelanggan yang berhasrat membawa kenderaan mereka untuk diservis adalah dinasihatkan membuat temu janji terlebih dahulu dengan pusat servis rasmi Isuzu mereka memandangkan semua cawangan beroperasi di bawah peraturan PKPB yang ketat mengikut negeri masing-masing ketika ini.
Mengekalkan jarak sosial yang selamat dan sistematik menjadi keutamaan, untuk itu jumlah kenderaan yang diterima untuk servis setiap hari juga akan berpandukan kepada kapasiti di setiap premis terlibat dengan jarak sosial minimum satu meter antara individu.
Untuk mengatur sesi melihat atau pandu uji kenderaan Isuzu, pelanggan yang berminat boleh membuat temujanji melalui laman Facebook Isuzu Malaysia di https://www.facebook.com/ISUZU.DMax.Malaysia/.
Must-Watch Video