Pengeluar skuter Itali, Italjet bakal memulakan pengeluaran model Italjet Dragster 2020 pada Mei ini.

Italjet Dragster yang mempunyai reka bentuk pelik ini ditawarkan dengan dua enjin empat lejang iaitu 125 dan 200cc.

Difahamkan ia akan tiba di pasaran bermula pertengahan 2020 yang mana skuter itu menggunakan kerangka trellis.

Bagi model Dragster 125, rim yang digunakan adalah 12 inci di hadapan dan 13 inci di belakang, selain enjinnya mampu menyalurkan 14.9bhp dengan tork setinggi 12.5Nm.

Varian 200cc pula, enjinnya mengekstrak 19.8bhp dengan 17Nm, selain dilengkapi ciri keselamatan ABS yang mana berat keseluruhan skuter mencecah 112 kilogram, iaitu lebih berat empat kilogram daripada versi 125cc.

Kedua-dua varian itu, mempunyai kapasiti tangki petrol mencecah 7 liter dan jika diisi di Malaysia dengan RON95, harganya baru RM14. Boleh dikatakan, tangki itu agak besar berbanding skuter yang ada di Malaysia.

Sistem suspensi hadapan dan belakang menggunakan jenama Bitubo dan ia adalah produk berprestasi selepas jualan yang kerap digunakan untuk menaik taraf skuter di Malaysia atau negara luar.

Bagi pasarannya pula, sudah pasti Malaysia tidak termasuk dalam sasaran mereka buat masa ini, kerana ia mempunyai potensi yang lebih besar di Jerman dan United Kingdom.

Sebanyak 499 unit bakal dikeluarkan bagi siri Edisi Pertama yang mempunyai nombor siri dan sijil bagi pemilik Dragster.