Setiap kali ke kedai motosikal untuk servis tukar minyak hitam dan palam pencucuh, sebahagian besar pemilik kapcai akan meminta karburetor motosikal mereka diservis semula.

Ini lebih kepada pemilik motosikal kapcai dan bukannya motosikal dengan teknologi sistem pancitan bahan api.

Malah karburetor yang dipenuhi kotoran juga dikatakan antara sebab utama motosikal kurang merasai kuasa pikap atau berasa berat, walaupun pendikit sudah diperah habis-habisan.

Adakalanya kekotoran dalam karburetor menggagalkan enjin dihidupkan. Ini sebabnya servis karburetor secara berkala adalah diperlukan.

Bagaimanapun, rata-rata pemilik motosikal atau bengkel memilih untuk mencuci komponen karburetor dengan caj tertentu dan menggunakan minyak petrol yang disedut dari tangki minyak anda.

Untuk mencuci, komponen karburetor perlu ditanggalkan satu persatu termasuk pelampung, getah penebat, main jet dan pilot jet yang akan direndam dalam bekas petrol.

Selepas itu, berus digunakan untuk mencuci setiap komponen dalam karburetor sebelum pam angin digunakan untuk mengeringkan sisa petrol.

Sebenarnya, kaedah itu adalah dikatakan tidak sesuai dan anda tidak disarankan untuk mencuci karburetor menggunakan minyak petrol mahupun diesel.

Ini kerana minyak petrol boleh menyebabkan gelung getah pada karburetor mengembang dan akhirnya mudah terputus atau koyak, akhirnya merosakkan pada karburetor itu sendiri.

Cara sebenar untuk servis atau cuci karburetor adalah dengan menggunakan produk pencuci injektor. Ada banyak produk pencuci karburetor atau injektor dalam pasaran Malaysia.

Pencuci karburetor atau injektor motosikal boleh membersihkan kotoran, karbon atau kesan sisa getah. Ini dikatakan akan jamin motosikal anda lebih lancar dengan prestasi lebih konsisten berbanding cucian petrol.

Bendalir ini menanggalkan kotoran dalam saluran masuk bahan api dan udara, injap, kebuk pembakaran dan juga ekzos. Ada beberapa pencuci berkualiti membolehkan pembersihan dilakukan dari dalam karburetor itu sendiri.