Perodua berjaya mendaftar 220,154 kenderaan pada 2020, mengatasi sasaran jualan 210,000 unit sebanyak 10,154 unit, didorong permintaan tinggi di sebalik pengecualian cukai jualan yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, Perodua berjaya mengeluarkan 220,968 kenderaan pada 2020 walaupun pengeluaran dihentikan antara Mac sehingga Mei 2020 akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sungguhpun demikian, pengecualian cukai jualan yang diperkenalkan pada Jun 2020 berjaya menarik minat pembeli kenderaan. Permintaan ini dapat melangsungkan pengeluar kenderaan serta ekosistem automotif tempatan.


“Perodua juga mencapai detik satu juta Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) pada November 2020, tepat dua tahun selepas mencapai detik setengah juta lalu mengukuhkan kedudukan kami sebagai pengeluar EEV terbesar di Malaysia dari segi jumlah,” katanya.

Zainal berkata, bahawa pencapaian jualan yang lebih baik daripada dijangkakan, memberi kesan positif secara langsung kepada ekosistem automotif Malaysia dengan membantu pembekal dan pengedar menghadapi cabaran pada 2020.

“Kami menjangkakan tahun yang lebih baik kerana terdapat petunjuk positif bahawa pandemik COVID-19 akan dapat diatasi dengan vaksin yang baru dikeluarkan. Kami akan mengumumkan sasaran 2021 kami pada masa yang terdekat,” katanya.