PROTON memperkenalkan kenderaan model baharu buat pasaran Mesir selain membuka Pusat 4S yang kendalikan oleh syarikat Alpha Ezz Elarab di Smart Village, Abbou Rawash, Giza.

Pemilik Alpha Ezz Elarab, Hisham Ezz Elarab berkata, beliau sangat teruja apabila model terbaharu Proton tiba di Mesir.

Menurutnya, beliau dan pasukannya kini boleh bekerja untuk memperkukuhkan semula jenama PROTON berikutan dengan perubahan dinamik yang berlaku kepada jenama PROTON di Malaysia.

“Selain menjadi pengimport tunggal, Alpha Ezz Elarab adalah syarikat pertama yang membawa Identiti Korporat terkini PROTON pada bilik pameran luar negara.

“Ia dibuka kepada orang ramai bermula 10 November dan pusat cawangan ini menyediakan perkhidmatan jualan, servis, alat-alat ganti serta mempunyai kemudahan membaiki yang meliputi kawasan sebesar 15,000 meter persegi,” katanya.

Majlis itu disempurnakan Pengarah Jualan Antarabangsa PROTON, Steven Xu Yuan dan Duta Besar Malaysia ke Mesir, Mohd Haniff Abd Rahman.

Sementara itu Steven berkata, Mesir berpotensi untuk memainkan peranan besar dalam membantu PROTON mencapai sasaran jualan masa hadapannya dengan meningkatkan jumlah jualan eksport.

“Syarikat dan pengimport di Mesir perlu bekerjasama dengan lebih rapat untuk memastikan keperluan pasaran dapat dipenuhi apabila produk diperkenalkan serta harga yang sesuai untuk pembeli.

“Sekiranya kami mampu melakukannya dan dapat menyerahkan kereta tepat pada masanya, maka kami boleh berjaya," katanya.

Pada masa sama, cawangan Proton lain di Mesir yang akan menampilkan Identiti Korporat baharu adalah di Al-Battal Street, Mohandessee dan Nahas Street, Bandar Nasr.