Kia K5 baharu dilancarkan di Amerika Syarikat. Bermula dengan model generasi kelima ini, sedan segmen D itu akan dikenali hanya sebagai K5 manakala nama Optima yang digunakan sebelum ini digugurkan.


K5 dibina menggunakan platform N3 generasi ketiga yang akan digunakan sebagai asas untuk model-model Kia yang akan datang. Jika dibandingkan dengan Optima, ukuran model ini adalah 2 inci lebih panjang, 1 inci lebih lebar dan 0.8 inci lebih rendah, manakala jarak roda bertambah sebanyak 1.8 inci.


Dari segi penggayaan, ia menampilkan badan berbentuk fastback dengan rekaan gril hidung harimau yang moden dan signatur lampu nyalaan siang berkonsepkan denyutan jantung. Rim didatangkan dalam pilihan 16 inci, 18 inci dan 19 inci, dengan padanan tayar Pirelli P-Zero untuk dua saiz terbesar itu.


Di dalam, kabin K5 menerapkan konsep moden yang boleh dilihat menerusi paparan sistem infotainmen bersambung dengan panel instrumen pemandu. Di samping gabungan upholsteri mewah dan kemasan krom metalik dan kayu, model ini juga mendapat tombol gear yang diinspirasikan oleh pesawat, bumbung panoramik dan stereng ‘flat bottom’ untuk varian GT-Line dan GT.


Kelengkapan lain yang turut disediakan termasuklah skrin sentuh lapan inci yang boleh dinaik taraf kepada unit 10.25 inci, sistem audio Bose dengan 12 pembesar suara, Active Sound Design yang berfungsi untuk menguatkan bunyi enjin dan penukaran gear, sambungan Apple CarPlay/Android Auto wayarles dan Smart Key.


Barisan enjin K5 untuk pasaran Amerika Syarikat terdiri daripada enjin turbo GDI empat silinder yang ditawarkan dalam versi 1.6-liter atau 2.5-liter. Versi 1.6-liter menghasilkan 180hp dan 264Nm untuk disalurkan ke roda menerusi transmisi automatik lapan kelajuan.


Sementara itu, versi 2.5-liter yang dikhaskan untuk varian GT mempunyai 290hp dan 422Nm. Dengan transmisi klac berkembar (DCT) lapan kelajuan, versi ini mampu memecut dari 0 hingga 97km/j dalam 5.8 saat. Terdapat lima mod pemanduan yang disediakan iaitu Normal, Smart, Sport, Custom dan Sport+ yang eksklusif untuk varian GT.


Untuk sistem bantuan pemandu, K5 didatangkan dengan sistem Kia Drive Wise yang merangkumi ciri-ciri seperti Forward Collision Warning (FCW), Forward Collision-Avoidance Assist (FCA), Driver Attention Warning (DAW), Lane Following Assist (LFA) dan bermacam lagi.