Model Kia Picanto versi dipertingkat pernah dikesan di Korea Selatan beberapa bulan lalu. Kereta subkompak itu diperkenalkan dengan gaya diperbaharu yang turut dikenal sebagai Kia Morning di negara asalnya.


Naik taraf itu membuatkan varian Kia Morning Urban kelihatan jauh lebih segar dengan adanya set lampu hadapan rekaan baharu bersama pencahayaan LED DRL dan set bampar baharu.


Kia Motor mengenakan gril radiator Tiger Nose rekaan baharu gaya tiga dimensi pada bampar depan manakala lampu kabus kereta ini menerima kemasan krom.


Bahagian belakang juga dikemas kini dengan penggunaan set lampu dengan kombinasi LED, lampu under rekaan baharu, pemantul menegak dan difuser kecil. Rim digunakan ialah sebesar 16 inci. Ada aksesori hiasan iaitu muncung ekzos berkembar berwarna krom.


Ruangan dalam kabin kini dilengkapi sistem multimedia dengan sambungan Bluetooth dan membolehkan anda menghubungkan dua peranti pada satu-satu masa.


Skrin berukuran 4.4 inci ini dipasang pada bahagian tengah papan pemuka, di atas lubang penyaman udara.


Kereta subkompak ini menggunakan enjin SmartStream 1.0 liter aspirasi biasa yang boleh menghasilkan 75hp dan tork 95Nm. Kotak gear digunakan ialah 5 kelajuan manual atau 4-kelajuan automatik. Harga Kia Picanto (Morning) ialah 11,950,000 won atau RM42,216.