Kawasaki Motor Indonesia (KMI) memperbaharui model W175 Cafe dengan memperkenalkan tiga warna baharu untuk motosikal ala retro berkapasiti kecil di pasaran negara republik itu.

Tiga warna itu ialah hitam, jingga dan perak dengan pelekat badan yang membuatkan motosikal W175 Cafe kelihatan lebih menarik sejak model ini diperkenalkan di Indonesia tahun lalu.

Varian W175 Cafe dengan tona hitam ini diserikan dengan warna hijau terang pada sisi motosikal membabitkan penutup bateri dan tangki minyak serta pada bahagian tepi kepala motosikal. Bagi menguatkan dominasi tona gelap, Kawasaki mengenakan warna hitam pada keseluruhan pelana dan absober berkembar belakang.

Bagi warna jingga pula, tona ini membuatkan motosikal Kawasaki W175 Cafe lebih menarik dengan tangki minyak selepas dipadankan dengan pelekat badan jalur kuning, kelabu dan hitam. Skim hiasan sama diberikan pada penghadang angin di hadapan instrumen meter. Pelapik sisi untuk bahagian lutut pula berwarna gelap.



Pada penutup bateri motosikal ini, Kawasaki mengenakan teks 175 Cafe bersaiz besar iaitu berbeza dengan varian hitam yang mempunyai font lebih halus. Set absober varian ini menggunakan gegelung kuning. Tempat duduk pula didominasi dengan warna coklat dengan sedikit tona hitam.

Model 175 Cafe ketiga ialah perak metalik iaitu pada bahagian tangki dengan liveri melintang merah dan hitam. Corak hiasan sama dikenakan pada penghadang angin instrumen meter. Pelana varian ini sama seperti varian jingga, coklat dan hitam.



Motosikal retro ini menggunakan enjin silinder tunggal 173cc dengan sistem penyejukan cecair dengan kotak gear lima kelajuan serta karburator jenis Mikuni VM24. Ia boleh hasilkan kuasa maksimum 11hp @ 7,500rpm dengan tork setinggi 13.2Nm @ 6,000rpm.

Fork hadapan digunakan ialah jenis teleskopik dengan padanan sistem absober belakang berkembar serta boleh diselaras secara manual. Harga Kawasaki W175 Cafe ialah Rp33.8 juta (RM9,250) iaitu harga asal tanpa kenaikan.