Satu akaun Instagram, Canal Carros memuat naik tiga keping gambar lakaran menyerupai Honda City Hatchback.

Akaun @canalcarros itu sebenarnya semakin popular dengan perkongsian gambar acah, video dan imej kereta baharu termasuk kiriman peminat atau pengikutnya.

Paparan gambar itu membabitkan kombinasi wajah City generasi baharu dengan rekabentuk gril, lampu hadapan, bampar bonet serta cermin hadapan seakan-akan sama.

Pandangan sisi pula nampak lebih kepada model hatchback dan ada yang merasakan ia mendukung ciri-ciri wagon.

Melihat dari gambar lakaran belakang, model ala Honda ini seperti dipasang lampu belakang corak seperti Audi Q7. Mungkin kebetulan atau ada perbezaan signifikan jika dikilangkan nanti.

Kami tidak tahu sama ada ini memang gambar lakaran sebenar jika Honda mahu memendekkan City atau sekadar lukisan mengisi masa lapang oleh seseorang artis yang amat kreatif.