Pada Ogos lalu, Lamborghini baharu sahaja memperkenalkan model generasi baharu Countach untuk pasaran global.

Namun Countach dalam artikel ini adalah versi yang lama keluaran pada 1982. Cuma untuk memiliki kenderaan ini, anda perlu menyiapkan sendiri proses restorasinya.


Harganya pula adalah tidak murah yang disangka, ia bakal dijual antara USD210,000 (RM871,000) sehingga USD250,000 (RM1.03 juta).

Jentera barai itu dibuka untuk dijual oleh Historics Auctioneers yang mana tarikh akhir bidaan akan tamat pada 26 September ini.


Countach 5000S dibina sebanyak 323 unit, tetapi ini adalah satu daripada 37 unit yang dihasilkan untuk pemanduan sebelah kanan.

Kali terakhir jentera ini dipandu pada 2008 sebelum proses restorasi bermula. Bagaimananpun, proses restorasi terbengkalai selepas syarikat untuk baik pulih terbabit ditutup operasinya dan sejak itu ia terbiar di dalam garaj sehingga kini.


Apa yang bagusnya dengan jentera itu, ia boleh dibuat satu pelaburan yang cukup menarik. Ini kerana ia boleh dijual semula dengan kondisi yang baik antara USD300,000 (RM1.24 juta) sehingga USD435,000 (RM1.8 juta)

Untuk makluman, Lamborghini Countach menggunakan enjin V12 bersesaran 4,754cc yang mampu menyalurkan 375hp. Kuasa itu disalurkan ke kotak gear lima kelajuan manual yang mampu memecut 0-100km/j dalam 5.6 saat.



Sumber: Historics Auctioneers