Antarabangsa

Lamborghini Huracan EVO RWD Spyder Gaya Lebih Santai Dengan Bumbung Boleh Dibuka

gempak
Erywan
14/05/2020
05:30 MYT
Sponsor Banner
Lamborghini Huracan EVO RWD Spyder Gaya Lebih Santai Dengan Bumbung Boleh Dibuka
Selepas melancarkan Huracan EVO RWD pada awal tahun ini, Lamborghini kini memperkenalkan pula Huracan EVO RWD Spyder yang juga versi ‘convertible’ kepada model terbabit.
Seperti yang dijangka, Huracan EVO RWD Spyder kelihatan sama sahaja dengan saudara coupe-nya kecuali ia mempunyai bumbung jenis ‘soft top’ yang boleh dibuka dalam masa 17 saat, pada kelajuan sehingga 50km/j.
Selain itu, model ini juga dilengkapi dengan dua penghadang angin yang boleh dicabut bagi tujuan mengurangkan bunyi bising di dalam kabin. Menurut Lamborghini, komponen itu membolehkan pemandu dan penumpang berbual antara satu sama lain walaupun ketika bergerak pada kelajuan tinggi.
Bercakap tentang kelajuan, Huracan EVO RWD Spyder menampilkan enjin aspirasi natural 5.2-liter V10 yang menghamburkan 610hp pada 8,000rpm dan 560Nm pada 6,500rpm. Enjin itu digabungkan dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan yang ditugaskan untuk menggerakkan roda belakang.
Kehadiran bumbung yang boleh dibuka ternyata sedikit sebanyak menjejaskan prestasi jentera ini. Jika versi coupe mampu memecut dari 0 hingga 100km/j dalam 3.3 saat, model convertible ini memerlukan 3.5 saat untuk mencapai kelajuan yang sama.
Kelajuan maksimum turut menurun dari 325km/j kepada 324km/j. Walaupun begitu, perbezaan kedua-dua angka terbabit dilihat terlalu kecil untuk dirasakan oleh kebanyakan pemandu. Apa yang pasti, punca kepada kemerosotan prestasi ini adalah penggunaan mekanisma bumbung ‘soft top’ yang memberikan berat tambahan sebanyak 120kg, menjadikan berat keseluruhan Huracan EVO RWD Spyder 1,509kg.
Bagi memastikan jentera ini kekal mengujakan, Lamborghini turut menyertakan ciri kawalan cengkaman Performance Traction Control System (P-TCS) dan sistem Adaptive Network Intelligent Management (ANIMA) yang merangkumi mod pemanduan Strada, Sport dan Corsa. Bakal memasuki pasaran pada pertengahan tahun ini, Huracan EVO RWD Spyder dijual pada harga EUR 175,838 (RM827,056).
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024