Antarabangsa
Lamborghini perkenal Huracan STO, pengganti Performante
Desas-desus mengenainya sudah bertiup kencang sejak bulan Mac lalu, semasa pandemik Covid-19 menjejaskan banyak industri termasuk sektor automotif global. Namun, itu bukan penghalang Lamborghini untuk muncul dengan model istimewa Huracan Super Trofeo Omologata (STO).
Huracan STO ini boleh dianggap sebagai jentera lumba Squadra Corse, tetapi dibenarkan untuk pemanduan di jalan raya biasa. Ada yang mengatakan model STO ini menduduki satu tangga di atas Huracan Evo dan menjadi pengganti kepada Huracan Performante.
Jika kita teliti enjinya, Huracan STO menggunakan enjin sama seperti Evo dan Performante iaitu jenis aspirasi biasa (NA) 5.2 liter V10 serta menjana output 630hp. Cumanya, Huracan STO ini lebih rendah kuasa tork iaitu 565Nm berbanding 600Nm pada Evo dan Performante.
Malah STO ada perbezaan had kelajuan maksimum iaitu sepantas 310 kilometer sejam (km/j) berbanding Evo atau Performante yang masing-masing mampu cecah lebih 325km/j. Huracan STO menggunakan pacuan roda belakang sama seperti Performante manakala Evo dipasang pacuan semua roda.
Huracan STO ada kelebihan tersendiri iaitu sarat dengan naik taraf bagi supercar 'bayi' Lamborghini. Kereta ini lebih ringan 43 kilogram (kg) berbanding Performante disebabkan penggunaan lebih banyak gentian karbon iaitu lebih 75 peratus pada badannya.
Cermin depan pula 20 peratus lebih ringan dari Performante dan dipasang rim magnesium 20 inci yang dibalut tayar Bridgestone Potenza. Sesuai untuk kegunaan trek dan jalan raya biasa. Ini membuatkan Huracan STO memiliki berat kering cuma 1,339 kg atau menyamai berat sebuah kereta kompak biasa tiga silinder di Eropah.
Menyentuh mengenai faktor aerodinamik, talaan dibuat dengan menggabungkan hud depan, madgad dan bampar menjadi satu komponen besar seperti model Miura dan Sesto Elemento. Fender belakang pula mengaplikasi gaya pengambilan udara NACA dengan hud ada skup udara sendiri untuk membantu meningkatkan kecekapan penyejukan.
Sirip di belakang dan spoiler boleh laras supercar ini membantu meningkatkan kecekapan aerodinamik kepada 37 peratus dan downforce 53 peratus lebih tinggi berbanding Huracan Performante.
Lamborghini juga menambah sistem brek dengan tetapan karbon-seramik Brembo CCM-R yang ada pada jentera Formula Satu (F1). Huracan STO juga didatangkan dengan tiga mode pemanduan iaitu road, trek dan hujan.
Pembeli ada pilihan untuk kustom sendiri beberapa aspek seperti cat dan kombinasi kemasan melalui Program Ad Personam. Unit kereta yang dilancarkan Lamborghini ini disaluti dua tona iaitu Blue Laufey dan California Orange. Ruang dalaman ada kerusi gentian karbon dengan empat poin tali pinggang keledar.
Harga dikenakan bermula serendah AS$327,838 (RM1.34 juta) di Amerika Syarikat iaitu lebih mahal dari Huracan Evo RWD (AS$208,571 atau RM855,245). Sebagai perbandingan, Huracan Evo dijual serendah AS$261,274 (RM1.07 juta) semasa mula-mula dilancarkan dua tahun lalu.
Huracan Performante pula berharga AS$274,390 (RM1.12 juta) semasa dilancarkan pada 2017 tetapi ini tidak termasuk tambahan opsyen lain. Lamborghini menyatakan kiriman Huracan STO akan dilakukan pada musim bunga akan datang.
Must-Watch Video