Jom undi InilahHeroKITA 2024 yang memberikan inspirasi melalui media sosial sekarang! 

Land Rover Defender Tampil Premium, Tetapi Tetap Lasak, Harga Bermula RM798,800

Erywan
22/10/2021 04:36 MYT

Jaguar Land Rover Malaysia melancarkan Defender ikonik baharu dengan dua pilihan tren kuasa membabitkan 2.0L 300PS Ingenium 4-silinder, dan  3.0L 400PS MHEV (Mild Hybrid Electric Vehicle) 6- silinder.

Bagi 2.0L 300PS Ingenium, ia menghasilkan 300PS pada 5,500rpm dan tork setinggi 400NM antara 1,500 sehingga 4,500rpm, manakala 400PS serta tork 500Nm untuk enjin 3.0L 400PS MHEV yang menampilkan twin-scroll turbocharge dan supercharger.


Sebagai kenderaan 4x4 yang paling berupaya dan berketahanan di dunia. Ia menggabungkan keupayaan off-road yang mantap untuk mencipta kenderaan dwiguna dengan teknologi dan reka bentuk praktikal.

Kerangka baharu dan reka bentuk badan D7x yang dibina berasaskan struktur monokok aluminium ringan, direkayasa untuk bertahan dengan prosedur Extreme Event Test Land Rover yang dilakukan berulang kali, jauh melangkaui piawaian normal untuk SUV dan kereta penumpang.


Reka bentuk badan Defender yang kukuh membolehkannya menunda dan membawa bebanan berat dengan rak bumbung dan sistem bar tunda dengan kapasiti tundaan seberat 3,500kg. Badannya yang ultra tegap berupaya menempuh cabaran merentasi daratan dengan beban maksimum bumbung statik seberat 300kg.

Reka bentuk badannya juga memberi jarak kelegaan bumi setinggi 291mm. Dengan jarak roda sepanjang 3,022mm (99mm lebih panjang daripada Discovery), Defender 110 memiliki sudut breakover 28 darjah memberikan geometri off-road yang unggul.


Ciri Adaptive Dynamic pada Suspensi Udara Elekronik membolehkan pelanggan mendapatkan karekter pemanduan yang tersendiri. Sistem peredam adaptif memantau pergerakan badan Defender sehingga 500 kali sesaat dan bertindak balas hampir serta merta untuk kawalan dan keselesaan yang optimum.

Suspensi udara mentransformasi kendalian 4x4 di atas jalan dan meningkatkan keupayaan all-terrain, memberikan kelegaan jarak dari tanah 75mm untuk pemanduan off-road. 


Selain itu, Kamera Keliling 3D dengan perspektif 3D baharu menjadikan kawalan pemanduan lebih mudah, manakala pandangan off-road, termasuk inovasi ClearSight Ground View memberikan pemandu keyakinan merentasi pelbagai permukaan bumi.

Ruang kabinnya dilengkapi dengan teknologi abad 21, termasuk sistem infotainmen terkini Pivi Pro yang dipadankan dengan sistem bunyi Meridian dari Britain. Ciri-ciri kemudahan lain yang ada pada Defender termasuk Head-up Display, ClearSight cermin pandang belakang dan sistem unit integrasi Click and Go yang menggabungkan aksesori tambahan,  jika perlu, untuk kemudahan penumpang baris kedua untuk menyimpan bag, komputer riba atau jaket.


Ruang beban belakang 110 memberikan ciri praktikal Defender dengan kapasiti 1,075 liter, selain ditawarkan pilihan lima atau 5+2 tempat duduk menjadikan ia versatil sebagai kenderaan keluarga atau untuk membawa keperluan mengembara.

Land Rover didatangkan dengan program Land Rover Care meliputi waranti lima tahun, servis percuma lima tahun dan bantuan sisi jalan raya selama tiga tahun.


Harga jualan varian 2.0L 300PS bermula dari RM798,800 manakala 3.0L 400PS MHEV bermula dari RM998,800 (harga termasuk pengecualian 50 peratus Cukai Jualan Penjana, tidak termasuk Cukai Jalan, Pendaftaran dan Insurans).

Selain itu, jam tangan Land Rover Heritage bernilai RM2,288 turut diberi bersama setiap Defender yang didaftarkan pada 2021 sempena sambutan ulang tahun kerjasama Sime Darby and Land Rover yang ke-40 (sementara stok masih ada). Untuk maklumat lanjut, sila layari www.landrover.com.my.

#Defender