Antarabangsa
Langkah Ini Boleh Selamatkan Anda Untuk Keluar Kenderaan Ditenggelami Air
Malang memang tidak berbau. Jika anda terbabit dalam kemalangan, perkara pertama yang biasa kita lakukan adalah keluar dari kenderaan selepas memastikan keadaan di luar selamat.
Tetapi pernahkah anda terfikir apakah langkah-langkah yang perlu diambil sekiranya kenderaan yang dipandu terbabas lalu masuk ke dalam sungai atau laut?
Sekiranya anda terperangkap dalam situasi ini, jangan terus buka pintu kerana tekanan dari luar akan menjadikannya sukar. Jika pun anda berjaya membuka pintu, ini akan menyebabkan lebih banyak air masuk dan kereta akan tenggelam dengan lebih pantas.
Cara yang lebih berkesan adalah dengan membuka tali pinggang keledar, seterusnya menurunkan tingkap dan keluar dari kereta melalui tingkap tersebut.
Jika anda terlalu lambat, tekanan air akan menyebabkan tingkap sukar untuk diturunkan. Dalam keadaan ini, anda perlu pecahkan tingkap sisi dengan menendang bahagian atas tingkap tersebut atau menggunakan bahagian besi perehat kepala.
Jangan cuba pecahkan cermin penghadang angin (windscreen) kerana ia dibina untuk menahan impak. Selain itu, anda juga boleh memecahkan kaca dengan lebih cepat dengan menggunakan alat khas seperti gambar di atas. Saiznya yang kecil membuatkan ia mudah dibawa dan disimpan di dalam kereta. Ia juga boleh digunakan untuk memotong tali pinggang keledar sekiranya perlu.
Satu perkara yang perlu diingat adalah kereta yang terjatuh ke dalam air tidak akan terus tenggelam, jadi anda mempunyai sedikit masa dan peluang untuk menyelamatkan diri. Oleh itu, sangat penting untuk anda kekal tenang dan tidak panik.
Must-Watch Video