Honda Malaysia mencatatkan 1,400 tempahan bagi model BR-V baharu selepas sebulan dilancarkan. Kenderaan segmen crossover dengan tujuh tempat duduk itu sangat menerima sambutan yang memberangsangkan di kawasan tengah selepas mencatatkan 42 peratus bagi jumlah tempahan itu.

Varian dengan spesifikasi tertinggi iaitu V menerima 85 peratus permintaan dan selebihnya adalah model E, selain warna Modern Steel Metallic mencatatkan tempahan tertinggi dengan 24 peratus.


Honda BR-V baharu menerima beberapa naik taraf membabitkan bampar hadapan dan kemasan bawahnya, jeriji, kemasan lampu kabus serta rim 16 inci dua tona. Pada masa sama, ia juga dilengkapi antena sirip serta dipadankan bampar belakang baharu.

Dalaman pula, semua kerusi dibaluti material kulit dengan jahitan merah bagi varian V serta dilengkapi paddle shift untuk memberi pengalaman pemanduan lebih menarik.

Dari segi rangkaian kuasa, ia masih menggunakan enjin 1.5 liter SOHC i-VTEC dengan padanan transmisi CVT yang menyalurkan 120PS.


Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama berkata, ketika Malaysia kini dalam tahap pemulihan, kebanyakan perniagaan kembali beroperasi dan menyesuaikan diri dengan keadaan baru dengan SOP yang ketat.

Menurutnya, pihaknya mahu menekankan bahawa semua peniaga Honda selamat dikunjungi dengan langkah berjaga-jaga yang diperlukan seperti suhu saringan, pembersihan tangan dan kawalan orang ramai.

“Bulan lalu juga, kami mengumumkan penurunan harga berikutan pengumuman pengecualian cukai penjualan oleh Kerajaan Malaysia.

“Selain membantu merangsang ekonomi negara dan industri automotif tempatan, pengecualian ini memberikan insentif besar bagi orang yang ingin membeli kereta ketika negara mulai pulih dari kesan Covid-19,” katanya.


Sempena pengenalan BR-V Baru, Honda Malaysia juga melancarkan dua Kempen Bantuan Komuniti membabitkan “Be Kind with BR-V” and “Honda Dealer Donation Drive”untuk program bantuan Covid-19 serta membantu mereka yang terjejas komuniti di kawasan sekitar peniaga Honda.

Harga Honda BR-V Baharu