Lebih 100 pemilik motosikal Modenas berkonvoi dari Shah Alam ke Tanjung Malim bagi menyertai acara amal sempena menyambut Hari Motosikal Sedunia pada hujung minggu lalu.

Acara amal itu dianjurkan oleh Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) dan ia disertai pemilik daripada Modenas Pulsar Owner Club (MPOC), Dominar 400 Club Malaysia (D4CM) dan Modenas Elegan Downtown (MEDT).


Mereka berkonvoi dari EON Glenmarie, Shah Alam ke Pusat Tahfiz Ulum Add Din di Tanjung Malim, dengan jarak kira-kira 60 kilometer.

Selain berkunjung ke pusat tahfiz itu, mereka melakukan pembersihan ruang surau dan kemudahan-kemudahan lain serta menvarnis pondok supaya tampak baharu.


Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS, Roslan Roskan berkata, ini adalah satu daripada matlamat syarikat untuk menganjurkan program bermakna yang membabitkan pelanggan dan masyarakat melalui program tanggungjawab korporat dan inisiatif pembabitkan orang awam.

"Pemilik motosikal Modenas bersatu ketika mereka menunggang, jadi sempena menyambut Hari Motosikal Sedunia lebih baik menganjurkan acara yang menyeronokkan dan bermakna buat mereka," katanya.

Pusat Tahfiz Ulum Add Din dibina pada 2015 yang kini menempatkan 62 pelajar yang berumur antara 9 sehingga 19 tahun.