Antarabangsa
Lebih Senang! Pengguna Boleh Perbaharui Cukai Jalan Atau Insurans Kenderaan melalui 250 kios Payquik
Berdasarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), lebih dua juta cukai jalan tidak diperbaharui akibat penutupan kaunter JPJ sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Justeru itu, Zurich General Insurance Malaysia Berhad (Zurich General Insurance) bekerjasama dengan Finology Sdn Bhd (Finology) serta PayLink Global (M) Sdn Bhd untuk menyediakan perkhidmatan pembaharuan cukai jalan raya dan pembelian insurans kenderaan melalui kiosk. Ini adalah kerjasama yang pertama seumpamanya di Malaysia.
Melalui kerjasama strategik ini, pengguna jalan raya di Malaysia akan menikmati kemudahan memperbaharui cukai jalan atau membeli insurans kenderaan untuk kereta dan motosikal mereka.
Terdapat kira-kira 250 kiosk Payquik tersedia di seluruh negara di lokasi strategik seperti pejabat syarikat utiliti, pusat membeli-belah dan bangunan kerajaan supaya rakyat Malaysia dapat memanfaatkan masa mereka apabila keluar untuk membayar bil atau membeli-belah.
Ketua Pegawai Eksekutif Zurich General Insurance, Junior Cho berkata, pihaknya sentiasa mencari penyelesaian baharu yang dapat memenuhi keperluan pengguna yang terus berkembang.
“Kerjasama dengan Finology dan Payquik akan memberikan akses yang lebih luas untuk pengguna jalan raya untuk mendapatkan perkhidmatan dan perlindungan yang mereka perlukan dengan cara yang cepat dan mudah,” katanya.
Menurut statistik JPJ dari tahun 2018, terdapat kira-kira 29 juta kenderaan berdaftar di Malaysia. Dari jumlah ini, hanya 19 juta kenderaan yang memperbaharui cukai jalan setiap tahun dan kira-kira 95 peratus daripada mereka yang mempunyai cukai jalan yang sudah tamat tempoh adalah motosikal.
Sementara itu, Pengarah Urusan Finology Jared Lim memaklumkan, mungkin ada yang bertanya mengapa kiosk perkhidmatan diperlukan jika pengguna mempunyai pilihan untuk membuat pembayaran dalam talian.
“Hakikatnya masih terdapat pengguna yang lebih gemar membayar menggunakan wang tunai atau tidak memiliki kad kredit.
“Ini bermakna pengguna-pengguna ini tidak mempunyai akses ke perkhidmatan kewangan dalam talian yang mencukupi. Justeru, pembelian insurans kenderaan dan pembaharuan cukai jalan melalui kiosk adalah alternatif terbaik,” katanya.
Selain itu, kiosk itu tersedia 24 jam yang membolehkan pelanggan membuat pembelian atau pembaharuan mengikut keselesaan mereka.
Must-Watch Video