Ketibaan Lexus LC 500 Convertible di Malaysia menjadi penanda kepada era baru bagi kenderaan prestasi dengan binaan bumbung boleh dibuka untuk pasaran tempatan.

Dilancarkan secara rasmi oleh Lexus Malaysia, ia adalah model pertama dari jenama pengeluar mewah itu ke dalam segmen kenderaan bumbung terbuka untuk pasaran negara ini.


Bentuk Luaran


Model ini kekal setia kepada banyak sentuhan rekaan yang pernah ditampilkan pada kereta konsep LF-FC yang menjadi inspirasinya. Rekaan depan rendah dan tajam, lampu projektor LED tiga-tahap serta gril "Spindle" menyempurnakan imejnya yang sangat dinamik. Di belakang, lampu kombinasi LED sepenuhnya membantu memberikan karakter yang luar biasa.

LC 500 Convertible juga menggunakan rim 21-inci yang diperkukuhkan dengan penyudah dua-tona berkilat serta salutan hitam yang menyumbang kepada imej maskulin kereta ini.


Bagi membuka dan menutup bumbung. Mekanisme lipatan bumbung dengan kuasa hidraulik ini juga membolehkan bumbung diturunkan dalam masa 15 saat, manakala dinaikkan semula dalam masa 16 saat. Lebih penting, semua itu boleh dicapai dengan mudah melalui satu sentuhan butang sahaja.

Bumbung lembut yang digunakan pula terdiri daripada empat lapisan material (tiga lapis fabrik + material NVH) dan boleh dibuka atau ditutup dalam kelajuan maksimum sehingga 50 km/j.


Penutup khas juga disekalikan untuk melindungi ruang simpanan bumbung selepas dilipat untuk menjadikan penampilan LC 500 Convertible lebih kemas ketika bumbung dibuka.

Lebih menarik, dengan struktur dan mekanisme bumbung yang ringan, ia turut menyumbang kepada aspek dinamik kereta serta mampu menghindari bunyi dan angin daripada menembusi ruang barang mahupun kabin, yang biasanya merupakan impak sekiranya menggunakan bumbung keras.

Cuma, versi LC 500 Convertible ini lebih berat sebanyak 90 kg berbanding versi coupe-nya, sementara ruang barangan yang tersedia berkapasiti 149 liter. Boleh muat satu beg golf.


Dalaman


LC 500 Convertible ini adalah kenderaan mempunyai tempat duduk 2+2 yang dibaluti kulit semi-aniline lengkap dengan liang dan pemanas. Kerusi pemandu juga datang dengan larasan elektrik lapan-arah dan fungsi memori.

Direka untuk keselesaan dan praktikaliti, kereta itu menampilkan stereng tiga-jejari balutan kulit bersama tombol penukaran gear.


Bagi memenuhi permintaan pemandu moden, LC 500 Convertible datang dengan skrin multimedia resolusi tinggi 10.3-inci yang boleh disambung Apple CarPlay dan Android Auto.

Ruang kokpitnya pula, ia dilengkapi paparan lapan-inci Digital Combination Meter serta Heads-Up Display. Interface sentuhan jarak jauh juga ada tersedia di konsol tengah.

Bagi penggemar audio yang teliti, LC 500 Convertible dimuatkan dengan 13 pembesar suara Mark Levinson Reference Surround Sound System.


Jurutera Lexus juga turut menghasilkan rekaan kabin untuk mengurangkan bunyi angin melalui bentuk unik pada beltline serta rekaan bentuk bahagian belakang yang menghalang angin daripada masuk.

Sebuah penampan angin lutsinar juga diletakkan di belakang tempat duduk untuk membantu menjadikan kabin lebih senyap sehingga kelajuan mencecah 60 km/j.


Prestasi Dan Ciri Keselamatan


Prestasinya pula, ia menggunakan enjin 5.0 liter V8 yang digandingkan transmisi automatik Direct-Shift 10-kelajuan.

Enjin suntikan terus ini menghasilkan sebanyak 470 hp kuasa dan 540 Nm tork. Pecutan 0-100 km/j adalah dalam masa 4.9 saat, dengan kelajuan maksimum dihadkan secara elektronik pada 270 km/j.


Dengan prestasi enjin yang mengkagumkan seperti itu, LC 500 Convertible masih mampu memberikan bacaan penggunaan minyak pada kadar 12.7 L /100 km (gabungan) disebabkab oleh ciri Dual Variable Valve Timing- intelligent (DVVT-i).

Ia turut digabungkan dengan ciri Artificial Intelligence Shift Control pada transmisi. Ciri pintar ini membantu meramalkan hasrat pemandu dan memilih gear yang sepatutnya untuk memberikan pengalaman pemanduan terbaik.


Faktor keselamatan sentiasa menjadi keutamaan Lexus. Untuk itu, model LC 500 Convertible terbaru ini juga dilengkapi dengan Lexus Safety System+ (LSS+), yang terdiri daripada ciri-ciri keselamatan terkini yang direka untuk menghindari kejadian tidak diingin.

Ini termasuklah sistem pra-perlanggaran, amaran menukar lorong dengan bantuan mengekalkan lorong, kawalan melayar radar dinamik serta lampu tinggi automatik. Kenderaan ini juga dilengkapi dengan enam-beg udara serta peninjau titik buta dan amaran lintasan trafik di belakang sebagai ciri standard.


Pilihan Warna Dan Harga

Bagi pilihan warna, LC 500 Convertible ditawarkan dengan White Nova Glass Flake, Deep Blue Mica, Sonic Silver, Terrane Khaki Mica Metallic, Naples Yellow Contrast Layering, Blazing Carnelian Contrast Layering, Radiant Red Contrast Layering, Black, Graphite Black Glass Flake, Dark Grey Mica dan Sonic Titanium dengan pilihan warna untuk bumbung sama ada hitam atau biege.

Bagi warna ruang dalaman, LC 500 Convertible menyediakan pilihan antara Flare Red, Black dan Ocher.


Lexus LC 500 Convertible dijual pada harga RM1.35 juta dengan cukai jualan dan perkhidmatan, tidak termasuk insurans. Model ini datang dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan dan servis percuma sepanjang tempoh itu atau bagi jarak 100,000 km yang pertama.

Serahan pembelian terawal LC 500 Convertible akan dilakukan pada awal Februari 2021.