Pakar talaan Jepun, Liberty Walk yang terkenal dengan kit badan untuk membuatkan jentera lebih sporty dan unik menawarkan produk terbaharu mereka buat Lamborghini Aventador.

Kit badan yang diberi nama Silhouette Works GT-EVO itu bukan sahaja membuat Lamborghini Aventador tampak lebih bergaya, tetapi juga terhad kepada 20 unit sahaja.


Sebelum kami ulas lebih lanjut tentang kit badan itu, tahukah anda berapa harganya? Ia dijual dengan harga yang berbeza mengikut material digunakan antara $94,600 (RM399,968) dan $187,000 (RM790,636).

Perubahan yang dilakukan pada Lamborghini Aventador dengan kit badan Silhouette Works GT-EVO boleh dilihat pada hadapan adalah bampar dan splitter, selain mempunyai lubang udara pada dapra sisi serta bonet.


Paling menarik dengan kit badan itu adalah dengan melihat profil bahagian sisinya. Ia dilengkapi skirt sisi yang bersambung dengan lengkungan roda belakang dan pada masa sama ia tampak lebih lebar.

Untuk memenuhi ciri konsep Liberty Walk seperti kenderaan lain, rim ditukar dan turut menggunakan sistem suspensi udara untuk merendahkan jentera berkenaan.


Bagaimanapun, kit badan itu tidak meningkatkan sebarang prestasi kereta, tetapi semata-mata lebih untuk membuatkan Lamborghini Aventador menyerlah.