PROTON menambah varian baharu menerusi Edisi Terhad pada barisan Proton X70 untuk mengukuhkan lagi daya tarikan SUV segmen C terlaris di Malaysia.


Namun, ia terhad kepada 2,000 unit dan Proton X70 Edisi Khas diposisikan di bahagian atas barisan model Proton dan mempunyai ciri-ciri baharu yang mewah bersama dengan warna istimewa.


Apa perbezaan Proton X70 Edisi Khas dengan varian sedia ada, ini perincian yang kami bahagikan kepada:

  1. Proton X70 Edisi Khas ditawarkan dengan warna baharu menerusi Ocean Blue dan Ruby Red.
  2. Bumbung, spoiler belakang dan bingkai cermin pintu yang diwarnakan hitam serta reka bentuk baru rim bersaiz 19 inci.
  3. Lambang SE eksklusif juga dipasang pada bahagian belakang sebagai sentuhan terakhir.
  4. Bahagian dalaman juga berwarna hitam bersama perincian mewah yang menaikkan lagi suasana kabin.
  5. Ini juga termasuk tempat duduk kulit Nappa hitam yang lembut, kemasan hiasan dalaman dan karpet khas SE yang baru.


Sama seperti Proton X70 yang lain, Edisi Khas itu dilengkapi dengan Sistem Penulenan Udara Pintar PROTON (P-IAPS) yang menggabungkan kebaikan Penapis Kabin N95 dan sistem pembersihan udara untuk menawarkan perlindungan terhadap pencemaran bawaan udara.


Ia juga dilengkapi senarai ciri keselamatan termasuk enam SRS bag udara dan Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) yang menambah lapisan keselamatan aktif bagi mengurangkan risiko kemalangan, Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS) dan Kamera 360.


Secara mekanikal, Proton X70 Edisi Khas mempunyai spesifikasi yang sama dengan varian Premium 2WD dan oleh itu ia juga menggunakan enjin 1.8L TGDi dan transmisi dwi-klac 7-kelajuan.


Proton X70 Edisi Khas ditawarkan dengan harga atas jalan tanpa insurans RM123,800. Sehingga 31 Disember 2021, tertakluk pada ketersediaan, ia akan dijual dengan insentif cukai jualan PEMERKASA+ bernilai RM7,000.


Ia kini boleh ditempah secara dalam talian dari harga serendah RM99. Untuk maklumat lebih lanjut, sila layari www.proton.com.