Pengeluar automotif terbesar India, Maruti Suzuki bakal memperkenalkan kenderaan utiliti sukan (SUV) mini bagi pasaran negara berkenaan pada hujung bulan ini.

Sebelum majlis pelancarannya, syarikat berkenaan mempertontonkan lukisan serta video bagi jentera itu kepada umum.

Menariknya nama jentera itu yang dipanggil Maruti Suzuki S-Presso yang diambil daripada minuman kopi espreso yang berkarakter kuat dan berani. Jadi karakter itu yang ditujukan kepada golongan muda yang mahu memiliki kenderaan yang bergaya.



S-Presso itu juga melambangkan ciri muda, bergaya, dan bertenaga yang sesuai dengan sasaran jualan jentera berkenaan iaitu golongan muda.

Pengenalan jentera itu juga selaras untuk memenuhi permintaan pelanggan yang mahu kenderaan citarasa baharu, selain melengkapi gaya hidup mereka.

Mini SUV itu bakal menawarkan ciri unik, premium, serta tampak sasa bagi kenderaan segmen permulaan di negara berkenaan.

Buat masa ini, tiada pengumuman rasmi yang dibuat berhubung harga serta spesifikasinya. Tunggu kami akan kemas kini maklumat jentera ini selepas ia dilancarkan nanti.