Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Mazda 6 Ditambah Baik Enjin Lebih Berkuasa Dan Kelengkapan Terkini

Erywan
03/09/2020 04:45 MYT
Walaupun menerima tekanan sengit daripada SUV, pasaran sedan di Amerika Utara masih meriah dengan pelbagai model yang hebat. Satu daripadanya adalah Mazda 6 yang ditambah baik dengan enjin yang lebih berkuasa dan kelengkapan terkini.

Untuk model tahun 2021, enjin SkyActiv-G 2.5 Turbo kini menjana 250hp dan 434Nm, menunjukkan peningkatan sebanyak 14Nm berbanding sebelum ini. Mana-mana varian yang dikuasakan oleh enjin ini juga mendapat lencana ‘Turbo’ sebagai petanda yang ia bukan jentera biasa.


Sementara itu, satu lagi pilihan enjin iaitu enjin SkyActiv-G aspirasi natural 2.5-liter kekal dengan 187hp dan 252Nm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan, G-Vectoring Plus dan pacuan roda hadapan.

Bagi memenuhi permintaan pelanggan mereka, Mazda turut menyertakan ciri Apple CarPlay dan Android Auto secara standard pada semua varian. Sesetengah varian seperti Grand Touring mendapat Apple CarPlay versi tanpa wayar, bermakna pelanggan tidak lagi memerlukan untuk menyambungkan telefon mereka dengan sistem infotainmen kenderaan.


Bukan itu sahaja, Mazda 6 juga buat pertama kalinya boleh didapati dalam versi Carbon Edition. Ia tampil sporty dengan warna Polymetal Grey, kemasan hitam berkilat pada cermin sisi dan spoiler serta rim 19 inci berwarna hitam. Tema lasak diteruskan di dalam menerusi upholsteri kulit berwarna merah dan trim hitam di segenap ruang kabin.

Antara kelengkapan standard yang terdapat pada Carbon Edition termasuklah paparan ‘head up’, lampu utama adaptif dan fungsi pemanas pada tempat duduk hadapan dan belakang serta stereng.

Bagi pasaran Amerika Syarikat, Mazda 6 ditawarkan dalam enam varian (Sport, Touring, Grand Touring, Grand Touring Reserve, Carbon Edition dan Signature) dengan harga bermula dari $24,325 (RM100,850) hingga $35,750 (RM148,220).

#Mazda