Antarabangsa

McLaren 765LT, Terhad 765 Unit Dan Lebih Pantas 15 Peratus

gempak
Erywan
12/03/2020
02:54 MYT
Sponsor Banner
McLaren 765LT, Terhad 765 Unit Dan Lebih Pantas 15 Peratus
McLaren 765LT adalah tawaran terbaru dalam barisan Longtail yang eksklusif. Seperti nombor yang tertera pada namanya, pengeluaran model ini akan dihadkan kepada 765 unit sahaja untuk pasaran global. Secara asanya, 765LT adalah versi 720S yang sudah diberi pelbagai penambahbaikan bagi menjadikannya lebih agresif. Ianya bermula dengan aspek mekanikal, di mana enjin 4.0-liter twin-turbo V8 yang terletak di belakang kabin kini menjana 765PS pada 7,500rpm dan 800Nm pada 5,500rpm. Dengan transmisi automatik tujuh kelajuan memacu roda belakang, jentera itu boleh memecut dari 0 hingga 100km/j dalam hanya 2.8 saat, iaitu 0.1 saat lebih pantas berbanding 720S. Masa pecutan 0-200km/j turut berjaya dikurangkan dari 7.8 saat kepada 7.2 saat. Menurut McLaren, nisbah kotak gear berkenaan diubah suai bagi memberikan pecutan lebih pantas sebanyak 15 peratus berbanding sebelum ini. Bagaimanapun, kehadiran pelbagai komponen aerodinamik yang menjana ‘downforce’ yang lebih tinggi menyebabkan kelajuan maksimum berkurang dari 341km/j kepada 330km/j. Selain itu, 765LT turut dilengkapi dengan cagak enjin yang lebih keras dan sistem suspensi Proactive Chassis Control II. Ia kini mempunyai sistem ekzos titanium sepenuhnya dengan empat muncung ekzos yang menghasilkan bunyi yang lebih beremosi. Bergantung pada pasaran, injap titanium digunakan bagi memastikan ia mematuhi piawaian EU. Satu lagi faktor penting dalam penghasilan 765LT adalah berat. Penggunaan gentian karbon dan aluminium secara menyeluruh serta komponen-komponen lain seperti ekzos titanium, bateri lithium-ion dan kaca tingkap yang lebih nipis menjadikan jentera ini 80kg lebih ringan dengan berat keseluruhan terbaru 1,229kg. Untuk brek pula, McLaren menggunakan cakera karbon seramik yang dipadankan dengan angkup dari Senna. Bagi pemanduan agresif di litar, pelanggan boleh menaik taraf kepada sistem brek karbon seramik yang turut diambil daripada model eksklusif itu.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024