Pada 1979, MINI pernah menghasilkan sebuah kereta edisi ulang tahun ke-20 yang dipanggil MINI 1100 Special dengan dua pilihan warna iaitu Metallic Rose atau Metallic Silver.

Selain itu, model terbabit dipasang bampar gaya Clubman dengan gril berwarna hitam berserta bumbung vinly kontras warna dengan badan. Itu cerita 40 tahun lalu.

Kini, MINI mahu memberi penghormatan terhadap model istimewa itu dengan melancarkan varian Coral Red Edition edisi 2021 yang didatangkan sama ada versi dua pintu atau empat pintu. Model ini dibina dengan bumbung jenis keras atau hardtop.


"Kaya dengan pelbagai model warisan edisi istimewa oleh syarikat MINI, varian MINI Coral Red Edition ini tanpa ragu-ragu mengimbas kembali sejarah dan warisan klasik Mini 1100 Special," kata Ketua Perancangan Produk dan Acara Konsumer, Patrick McKenna.

MINI Coral Red Edition 2021 didatangkan dengan bumbung dan perumah cermin sisi berwarna hitam. Warna ini diaplikasi seperti pada model-model MINI Clubman lain.


Tambahan lain ialah frem gril, lingkaran lampu depan serta lencana sayap MINI pada hud dan belakang berwarna hitam. Skim warna sama juga dikenakan pada pemegang pintu.

Model ini didatangkan dengan beberapa ciri standard termasuk lampu LED dan lampu kabus selain rekaan bendera Union Jack pada lampu belakang (LED). Model Cooper ini dikenakan rim berukuran 17 inci dua tona sebagai pelengkap terbaik skim warna badan.


Hanya 300 unit MINI Coral Red Edition akan ditawarkan untuk pasaran Amerika Syarikat (AS) dan akan tiba kepada pihak pengedar menjelang lewat bulan ini. Belum ada maklumat sama ada model ini akan dijual di pasaran lain termasuk Malaysia.

Harga yang diumumkan bagi model ini di AS ialah AS$33,275 (RM141,834) untuk varian dua pintu dan AS$34,520 (RM147,141) bagi konfigurasi empat pintu.