Ruang modifikasi kali ini agak unik berbanding biasa selepas menampilkan dua model legenda Mitsubishi Evolution (Evo) III.

Biarpun umur melebihi 20 tahun, kedua-dua model ini sememangnya diminati buat kaki kereta di Malaysia kerana mempunyai prestasi enjin yang mantap selepas menggunakan sistem turbo.

Jentera warna hitam milik Melan ini adalah keluaran tahun 1992 yang mana enjin 4G63T sudah diubah suai untuk meningkatkan prestasinya.

Enjin berkenaan sudah pun menukar beberapa komponen membabitkan omboh Wiseco 86mm, Conrod Manley, aci sesondol HKS 246 serta menggunakan sistem turbo A/R 50.

Bagi melancarkan perjalanan bahan api pula, ia dibantu pam Walbro 255lph dengan pendikit badan 90mm yang mana sistem pembakaran dalam kebuk diperkuatkan palam pencucuh NGK.

Emisi yang terhasil dalam kebuk pembakaran disalurkan ke pancarongga Tonnka dengan Wastegate Tiel 38mm sebelum disalurkan ke sistem ekzos Evo III.

Kotak gear pacuan semua roda juga menggunakan komponen Evo III yang dilengkapi LSD serta diperkuatkan lagi dengan klac kepingan tunggal Ogura.

Sistem penyejuk enjin pula dipertingkatkan dengan intercooler HKS.

Bagi luaran pula, jentera ini dilengkapi kit badan asal Evo III yang diperkuatkan dengan cermin sisi Ganador asli.

Malah, imejnya tampak menarik dengan padanan rim TE37 bersaiz 18 inci yang mana ia dibaluti Tayar Bridgestone RE003. Di sebalik rim itu, ia menggunakan sistem brek AP Racing di hadapan serta komponen Evo III di belakangnya.

Menjengah ruang dalamannya pula, kelihatan jentera ini menggunakan kerusi Tommi Makinen dan papan pemuka kelihatan penuh dengan meter Defi ‘enam beradik’.

Pada masa sama, stereng Momo dan perehat tangan Evo III turut kelihatan pada ruang kokpit sekali gus menyerlahkan karakternya.

Bagi Mitsubishi Evolution warna perak ini pula, pemiliknya Zool Ayub turut tidak membiarkan enjin 4G63T berada dalam keadaan standard.

Pemiliknya tidak langsung berselindung apa yang dilakukan pada enjin itu selepas menukar aci sesondol HKS 264 dan aci gear Works Engineering.

Boleh dikatakan beberapa komponen sama yang turut digunakan pada sistem perjalanan bahan api seperti Walbro 255lph dengan pendikit badan 90mm.

Cuma ada sedikit perbezaan menerusi sistem penyejuk apabila menggunakan intercooler Greedy serta menggunakan klac berkembar OS Giken pada kotak gear pacuan semua roda Evo III.

Sistem ekzos menggunakan paip binaan khas 3 inci serta peredam SR Jasma untuk menyalur emisi dari kebuk pembakaran.

Jika melihat pada bentuk luaran, ia tampak lebih garang dengan kit badan lebar serta padanan bampar dan dapra Kansai serta spoiler Evo II.

Pada masa sama beberapa komponen gentian karbon turut digunakan untuk membuatkan ia berbeza serta lebih ringan berbanding biasa.

Berbicara berhubung rimnya, jentera itu menggunakan TE37 bersaiz 17 inci yang dibaluti tayar Toyo Proxes dan sistem brek dipadankan jenama Brembo.

Ruang dalaman pula diceriakan dengan kerusi Recaro SPG, stereng Momo Speed, pedal Ralliart dan beberapa meter Defi.

Bagi proses ubah suai kedua-dua jentera itu, ia diberi kepercayaan kepada bengkel Duan Pomen Garage.Bagaimanapun, nilai untuk kos ubah suai tidak didedahkan bagi kedua-dua pemilik jentera berkenaan.