Pada Mei lalu, drebar.my ada melaporkan sebuah Mitsubishi Lancer Evo VI Tommi Makinen Edition yang dijual melebihi RM500,000. Ketika itu, ia adalah Mitsubishi Lancer Evo VI Tommi Makinen Edition paling mahal yang pernah dijual setakat ini.

Bagaimanapun, rekod itu sudah dimusnahkan dengan sebuah lagi model yang sama selepas dijual pada £146,250 (856,755) di acara lelongan Silverstone Auctions, baru-baru ini.


​Untuk makluman, pada 21 tahun lalu jentera itu dijual pada harga RM193,289 dan kini harganya meningkat lebih tiga ganda.

Ia lebih mahal dan istimewa kerana jentera itu mempunyai siri nombor 001, selain kondisinya yang terjaga rapi dan masih lagi baharu dengan jarak perbatuan hanya 17,703km. Jentera itu juga dalam keadaan standard dan mempunyai sejarah penyelenggaran berkala yang sempurna.


Sebelum ini, jentera itu menjalani ubah suai yang minimum pada enjin, tetapi sudah kembali kepada asal. Cuma yang tinggal ubah suai itu adalah sistem ekzos stainless-steel, tetapi yang asal akan disertakan bersama untuk diberikan kepada pemilik baru.

Daripada 250 units yang diimport secara rasmi ke United Kingdom, 50 unit adalah warna merah yang diceriakan dengan pelekat seperti jentera lumba.

Apakah yang istimewa mengenai kereta merah ini yang menjadikan ia begitu mahal? Dilancarkan pada Disember 1999, Lancer Evo IV TME dihasilkan bagi menyambut gelaran Kejohanan Rali Dunia (WRC) yang dirangkul oleh Tommi Makinen buat kali keempat berturut-turut.


Ia dikuasakan oleh enjin 2.0-liter empat silinder MIVEC yang menghasilkan 280PS pada 6,500 rpm dan 373Nm pada 2,750 rpm dengan bantuan pengecas turbo titanium.

Enjin terbabit digandingkan dengan transmisi manual lima kelajuan yang menggerakkan keempat-empat roda.


Ciri-ciri eksklusif lain termasuklah skema warna dan rim aloi 17 inci yang diinspirasikan oleh jentera rali Group-A Mitsubishi, tempat duduk Recaro, stereng Momo, nisbah stereng yang lebih cepat dan suspensi talaan khas.