Tempatan
Mitsubishi Triton Knight terhad 120 unit sahaja-RM137,000
Bagi memberi pilihan lebih menarik, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) memperkenalkan unit edisi terhad trak pikapnya menerusi model Mitsubishi Triton Knight.
Ia diterhadkan kepada 120 unit sahaja yang menggunakan spesifikasi paling tinggi iaitu Triton Adventure X.
Apa yang menariknya, trak pikap itu hanya hadir dengan warna putih berlian serta padanan pelbagai aksesori tambahan untuk memberi penampilan lebih garang.
Selain itu, Triton Knight menerima bampar hadapan kelabu dengan bonet yang mempunyai pelindung untuk tampak gah. Pada masa sama, ia diletak pelekat badan Knight dan visor cermin sisi.
Memasuki ruang kabinnya pula, diperkemaskan dengan kepingan tepi kaki dan pelapik kaki jahitan merah tertera nama Knight.
Secara asasnya, ia menerima aksesori dalaman seperti varian Triton Adventure X membabitkan All Round Monitor (ARM), Rakaman Video Pemanduan serta audio sesentuh tujuh inci.
Berhubung enjinnya, ia dikuasai 2.4 liter MIVEC turbodiesel yang menyalurkan 181PS dan tork mencecah 430Nm. Kuasa itu disalurkan ke transmisi automatik enam kelajuan untuk memberi pecutan yang lancar atau berprestasi.
Untuk kawalan pula, Triton itu dipadankan sistem Super Select 4WD II bagi kawalan cengkaman serta pemanduan di semua permukaan jalan.
Jika anda mahu memilikinya, ia dijual pada RM137,000 iaitu sama harga Triton Adventure X, tetapi menerima akseori tambahan. Selain itu, pelanggan yang membeli Triton diberi rebat tunai RM3,000. Sekiranya anda pemilik trak pikap, rebat tambahan RM2,000 turut diberikan.
Must-Watch Video