Selepas kejayaan Modenas melancarkan jentera pertamanya Kriss 110, Modenas sekali lagi tampil dengan jentera keduanya iaitu Jaguh.

Tampil dengan reka bentuk Kruiser dan bersesaran 175 CC, ia agak menarik perhatian penduduk Malaysia selepas diperkenalkan secara rasminya pada 1999.

Namun bagi peminat motosikap kustom, jentera ini turut tidak terpinggir untuk dimodifikasi secara ekstrem sehingga merubah bentuk asalnya.

Di Lunas, Kulim, Kedah, Jaguh milik Noorzamzuri Ramli, 40, tampil agak menarik untuk dikongsikan selepas diubah kepada reka bentuk Euro Style atau Thunderbike Kustom.

Jika diteliti, Jaguh ini hanya mengekalkan kerangka dan enjin asal sahaja, manakala yang lain diubah suai secara maksimum dengan pelbagai komponen binaan khas.

Secara jelas yang boleh dilihat adalah tangki binaan khas yang diolah dari kepingan besi dan dibina dengan reka bentuk yang bersegi sekali gus mampu menarik perhatian umum.

Paling menyerlah apabila penggunaan rim aloi 18 inci dengan balutan tayar Swallow Classic serta rim kereta bersaiz 17 inci dengan lebar 7 inci yang dibalut tayar motosikal.

Selain itu bahagian pelindung tayar belakang turut dibina khas yang asalnya diperbuat daripada material kepingan besi.

Bagi keseimbangan jentera pula, ia dikawal oleh dua monoshock Kawasaki RR serta lengan ayun binaan khas yang bersaiz lebih panjang dari asal (lebih 4 inci).

Selain itu, hendal diubah suai secara kustom dan ternyata turut mengubah gaya pengendalian berbanding asal.

Ditanya tempoh ubah suai Jaguh ini, Noorzamzuri mendedahkan hampir lapan bulan disiapkan dengan menelan kos kurang dari RM 10,000.

Baca juga:

>>Modenas Jaguh karakter cafe racer.