Siapa sangka bahawa BMW sudah menjadi pembekal kereta keselamatan MotoGP sejak 20 tahun yang lalu.

Bagi saingan musim ini, jenama dari Munich itu memperkenalkan jentera terbaiknya iaitu M8 Competition yang akan mengetuai flit kereta keselamatan bagi kejohanan berprestij itu.



Diperkenalkan pada Jun tahun ini, M8 Competition menampilkan enjin M TwinPower Turbo 4.4-liter V8 dengan janaan kuasa mencecah 625hp, iaitu 25hp lebih tinggi berbanding M8.

Dengan transmisi M Steptronic lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda xDrive, ia hanya memerlukan 3.2 saat untuk memecut dari 0 hingga 100km/j dan boleh memecut sehingga 250km/j atau 305km/j jika dilengkapi dengan M Driver’s Package.



Bagaimanapun, transformasi dari M8 Competition ‘biasa’ kepada kereta keselamatan MotoGP ini dilakukan dengan penambahan pelbagai komponen tambahan.

Ia membabitkan corak MotoGP, sistem ekzos titanium, sangkar keselamatan, kerusi Recaro dengan tali pinggan keledar Schroth, pemadam api, tayar Michelin Cup serta spoiler belakang dari M8 GTE.



Jentera itu turut menerima beberapa kelengkapan M Performance yang diperbuat daripada gentian karbon seperti muncung ekzos, pelindung enjin, stereng sport dengan paddle shifter, skirt sisi, liang udara sisi dan diffuser.

Presiden BMW M, Markus Flasch berkata, M8 dan jentera lumba endurance M8 GTE dibangunkan secara serentak.



“Itulah sebabnya ia adalah langkah yang logik bagi kami untuk memilih M8 Competition sebagai asas untuk kereta keselamatan MotoGP baharu. Walaupun dalam versi produksi, kereta berprestasi tinggi ini sesuai untuk litar lumba.”

Kereta keselamatan MotoGP terbaru itu membuat penampilan pertamanya di pusingan MotoGP Grand Prix Austria di litar Red Bull Ring.