PROTON baru sahaja memperkenalkan Proton Iriz dan Persona 2022 baharu mereka. Bagaimanapun yang lebih mengujakan dengan kehadiran varian baharu menerusi model Iriz iaitu Active yang menerapkan sporty dan bergaya SUV. Cuma bagi kami, ia sekali imbas hampir macam kereta rali, memang menarik!

Perbezaanya dengan varian biasa, bahagian luaran diberi bampar berlainan dengan sentuhan baru pada keseluruhan bentuk bahagian badan dari bampar hadapan sehingga ke bampar belakang.


Sentuhan penamat bahagian luaran diberikan oleh bumbung hitam dan rel bumbung baru.

Reka bentuk juga dilengkapi dengan roda aloi bersaiz 16 inci, bumbung hitam dan juga lampu gabungan belakang yang baru.


Selain penambahan unit infotainment 8-inci terapung dengan fungsi arahan suara, bahagian dalaman Iriz varian ‘Active’ menggunakan warna merah pada sulaman ‘Active’ di kerusi hadapan, trim pintu dan karpet, begitu juga dengan jahitan berwarna merah pada roda stereng dan tali pinggang keledar.

Ia juga ditampilkan dengan pedal sukan aluminium yang menambahkan lagi ciri sukan secara halus.


Pada masa sama, ia ditampilkan dengan kamera dan sensor parkir bagi memberikan bantuan visual dan audio semasa menempatkan kereta di tempat parker serta butang mod ECO.

Dari segi rangkaian kuasanya, ia masih menggunakan enjin 1.6 litre yang menyalurkan 109 PS pada 5,750rpm dan tork setinggi 150Nm pada 4,000 rpm.


Dari segi harga, varian Active ini adalah paling mahal yang dijual pada RM54,800 berbanding RM47,800 (Iriz 1.6L Executive CVT) dan RM40,800 (Iriz 1.3L Standard CVT).