Antarabangsa
Nissan Navara N-Trek, edisi istimewa ini hanya dijual di Australia!
Bagi memberi imej lebih segar dan unik, Nissan Australia melancarkan edisi istimewa trak pikap, Nissan N-Trek dengan tambahan komponen hitam dan padanan aksesori luaran serta dalaman.
Edisi istimewa berkenaan yang menggunakan varian Dual Cab 4x4 ST-X itu tampak lebih gah, selepas dipadankan kemasan elemen hitam membabitkan rim aloi 18 inci, bampar bawah hadapan dengan sentuhan warna oren, jeriji, keliling lampu kabus, bampar belakang, pelindung dapra sisi, palang sport aloi serta banyak lagi.
Elemen menarik yang lain termasuk lampu hadapan LED yang mempunyai warna hitam di dalamnya, pelekat hitam pada bahagian sisi bawah dan logo di N-Trek di belakang.
Nissan Navara N-Trek juga menerima pembaharuan di ruang dalam dengan kerusi balutan kulit dengan kemasan fabrik oren. Pada masa sama, konsul tengah, perehat tangan pada pintu, roda stereng dan pengubah berkuasa tempat duduk pemandu turut menerima kemasan oren.
Edisi istimewa itu juga dilengkapi sistem Alliance In-Vehicle Infotainment yang memaparkan skrin sesentuh lapan inci dengan mempunyai ciri Apple CarPlay dan Android Auto.
Ciri keselamatannya, N-Trek ditawarkan dengan kamera undur, sensor parkir, Monitor Pandangan Sekeliling 360-Darjah , Bantuan Mula Mendaki, Hill Start Assist (HSA), Kawalan Menuruni Bukit (HDC), electronic rear differential lock dan banyak lagi.
Ia dijana enjin diesel bersesaran 2.3 liter turbo berkembar yang menyalurkan 188hp dengan tork sehingga 450Nm. Menariknya, ia ditawarkan dengan transmisi enam kelajuan manual dan tujuh kelajuan automatic.
Harga bagi model berkenaan AU$56,450 (RM159,203) bagi manual, manakala automatik dijual pada AU$58,950 (RM166,253).
Must-Watch Video