Nissan mendedahkan Serena versi facelift yang sudah mula dijual di pasaran Jepun. Model MPV itu hadir dengan imej luaran dan dalaman yang lebih terkini, diiringi dengan pelbagai teknologi keselamatan pintar sebagai ciri standard.

Berkenaan dengan imej, Nissan memberikan Serena penampilan yang lebih menarik terutamanya pada bahagian hadapan dengan jeriji V-Motion berkembar dan lampu utama yang direka semula. Ia juga mendapat bampar baharu yang kelihatan lebih ‘tajam’ dengan spoiler terbina.



Sementara itu, model Highway Star yang dipaparkan di sini mendapat jeriji yang lebih besar dengan corak krom yang unik, lampu belakang yang melengkung dan rekaan bampar belakang yang lebih sporty. Model e-Power pula didatangkan dengan roda aluminium 16 inci.

Bagi pasaran Jepun, Serena boleh didapati dalam 14 pilihan warna termasuk dua warna baru iaitu Sunrise Orange dan Dark Metal Gray. Kedua-dua warna terbabit boleh dipadankan dengan bumbung Diamond Black.



Ruang kabin pula mendapat panel instrumen dan fabrik tempat duduk baharu, bergantung kepada varian yang dipilih. Bukan itu sahaja, pelanggan kini boleh mendapatkan pelindung kalis air bagi mendapatkan perlindungan tambahan pada tempat duduk.

Satu kelengkapan terkini adalah lampu adaptif LED yang menggunakan kamera untuk mengesan kenderaan dari arah hadapan.



Sistem berkenaan kemudiannya akan mematikan setiap satu daripada 12 LED yang terdapat pada setiap lampu bagi mengurangkan kesan silau.

Dari segi keselamatan pula, Serena facelift mendapat ciri Intelligent Blind Spot Intervention, Blind Spot Warning dan Emergency Assist for Pedal Misapplication sebagai standard.



Turut disertakan adalah Rear Cross Traffic Alert yang berfungsi untuk memberikan amaran sekiranya terdapat kenderaan dari arah kiri atau kanan semasa mengundur.

Ciri ProPilot turut ditambahbaik dan kini ia dikatakan lebih lancar ketika membrek dan juga mampu mengekalkan kelajuan seperti yang ditetapkan oleh pemandu ketika melalui jalan berbukit.

Seperti sebelum ini, Serena kekal dengan pilihan enjin MR20DD 2.0 liter dan enjin MR20DD-SM24 bagi model S-Hybrid. Turut dikekalkan adalah model e-Power yang menampilkan rangkaian kuasa HR12DE-EM57 yang merangkumi enjin 1.2 liter dan motor elektrik.