Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Novitec Tawar Dos Kuasa Tambahan Maserati Levante

Erywan
06/04/2020 04:10 MYT
Bagi mereka yang mahukan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) sport mewah kelas Ferrari, pilihan yang ada buat masa ini cuma Maserati Levante Trofeo.

Levante Trofeo dipacu enjin turbo berkembar 3.8 litre V8 yang dibina oleh Ferrari. Ia menjana 580bhp dengan tork 730Nm, cukup berkuasa bagi orang kebanyakan.



Namun, ada juga kelompok dahagakan pendikit lebih responsif, putaran roda lebih agresif dengan daya pikap lebih bertenaga. Jika ya, firma talaan Novitec ada jawapannya.

Syarikat itu mengusik rangkaian kuasa V8 Ferrari dalam Levante Trofeo untuk menawarkan kuasa hingga 616bhp dengan tork puncak 820Nm.



Selain menambah dos kuasa enjin, kakitangan Novitec turut menambah ukuran lebar SUV kepada 2.09 meter hasil aplikasi arca roda depan dan belakang.

Ada lapan komponen dalam pakej kit badan Novitec dan pelanggan boleh memilih sama mahu mengekalkan imej keaslian gentian karbon membabitkan skup bonet dan spoiler belakang atau tidak.



Novitec juga mengubah suai tetapan suspensi angin dengan merendahkan ketinggian SUV sebanyak 25 millimeter (mm).

Ini membantu memperkemaskan imej Levante Trofeo agar lebih agresif serta menambah kekuatan pusat tarikan gravitinya. Rim asal ditanggalkan untuk membenarkan penggunaan set rim 22 inci.



Berhubung aspek prestasi, Novitec menyatakan ia boleh model ini mencapai kelajuan 100 kilometer sejam (km/j) dari titik pegun dalam masa 3.8 saat. Kelajuan maksimum ialah 309km/j.

;