Selepas agak lama menyepi, Pagani dengan model edisi khas Huayra Tricolore bagi meraikan ulang tahun ke-60 pasukan demonstrasi akrobatik Tentera Udara Itali iaitu Frecce Tricolori (Tricolour Arrows). Hanya tiga unit akan dihasilkan dan setiap satu ditawarkan pada harga 5.5 juta Euro (RM27 juta).


Penggayaan Huayra Tricolore diinspirasikan oleh pesawat Aermacchi MB-339A P.A.N. yang digunakan oleh pasukan itu, dengan aerodinamik sebagai fokus utama. Jika dibandingkan dengan Huayra standard, ia mempunyai rekaan bampar hadapan yang sedikit berlainan dengan ‘splitter’ lebih menonjol serta bukaan udara lebih besar untuk menyalurkan lebih banyak udara ke ruang enjin.


Di belakang, komponen sokongan ‘spoiler’ mempunyai bentuk seakan ekor pesawat terbabit serta memaparkan nombor siri model, manakala ‘diffuser’ direka semula bagi tujuan pengaliran udara yang lebih baik. Satu lagi ciri unik diinspirasikan oleh pesawat adalah tiub Pitot yang terletak pada hud hadapan. Alat ini digunakan untuk mengukur kelajuan makroskopik udara, sekali gus menentukan keadaan aerodinamik sesebuah pesawat.


Perincian pada ruang kabin tidak kurang hebatnya dengan penggunaan komponen aluminium yang diperbuat daripada aloi gred aeroangkasa. Tombol gearnya pula diukir dari sebuah blok aluminium dan karbon, dan kemudiannya dimesinkan sebelum dikilatkan. Seperti bahagian luaran, tempat duduk didatangkan dalam warna biru dan putih, dihiasi dengan jalur bendera Itali.


Huayra Tricolore bernadikan enjin 6.0-liter twin-turbo V12 keluaran Mercedes-AMG yang dipadankan dengan transmisi Xtrac AMT tujuh kelajuan. Enjin itu menghamburkan 840PS dan 1,100Nm, dengan 100 peratus kuasa tersebut disalurkan ke roda belakang. Bercakap tentang roda, jentera ini dilengkapi dengan rim berukuran 20 inci di hadapan dan 21 inci di belakang, berserta tayar Pirelli P Zero Trofeo R.