Hyundai Kona menyertai model SUV Hyundai di Malaysia seperti Tucson, Santa Fe. Kona juga menjadi model pertama SUV kompak segmen B yang dijual oleh Hyundai Sime Darby Malaysia

Biarpun ia sebuah SUV buatan Korea, nama Kona yang digunakan itu berasal dari sebuah daerah di Hawaii, Amerika Syarikat. Di Malaysia, SUV kompak itu ditawarkan dengan tiga varian iaitu 2.0 Kona, 2.0 Active dan 1.6 Turbo.


Jentera pandu uji ini, adalah varian 1.6 turbo yang mana harga dijual pada RM143,888 pada harga pengenalan, tetapi harga biasanya adalah RM151,888.

Ya betul, harganya sedikit mahal. Namun, ini adalah model CBU dan bukannya model yang dipasang di Malaysia seperti model CKD yang lain.


Reka Bentuk Yang Menawan

Kenderaan SUV dalam segmen B di Malaysia cukup kompetitif, pesaingnya seperti Proton X50, Honda HR-V, Mazda CX3 dan Toyota CHR. Namun, adakah Hyundai Kona ini mampu bersaing dengan model-model yang ada di pasaran Malaysia ketika ini.

Luarannya, Hyundai Kona ini ternyata memberi reka bentuk yang lebih segar dan moden dan di bahagian depan ini. Boleh lihat ia memberi penampilan yang berbeza berbanding SUV lain. Depan saja, lampu dibahagian kepada dua bahagian. Atas ini adalah lampu siang LED dan di bahagian bawah lampu utama dan signal.


Apa yang menariknya, ia mempunyai gril besar untuk memberi penampilan yang cukup gah dan garang. Sisi, ia dilengkapi kemasan hitam untuk menampilkan identiti SUV crossover untuk kelihatan lebih rugged dan varian paling tinggi ini dipadankan dengan rim 18 inci dengan kemasan dua tona warna.

Belakangnya juga mempunyai 2 lapis lampu, yang mana bahagian atas ini lampu utama dan bahagian bawah adalah lampu signal dan lampu undur.


Dalaman Lebih Segar

Ruang kabin ini memang nampak segar. Mata terus tertarik dengan kemasan warna lime atau hijau muda yang terang ini. Selain warna hijau muda ini, pemiliknya boleh memilih warna lain iaitu merah dan kelabu. Tetapi jentera pandu uji ini, dilengkapi hijau muda yang menghiasi keseluruhan ruang kabin Kona ini.

Ditengah meter, ia diapit dengan paparan TFT 4.2 inci untuk memberi maklumat yang lebih jelas kepada pemandu.


Pada masa sama, ia turut dilengkapi paparan head-up yang memaparan pelbagai maklumat kepada pemandu tanpa mengganggu pemanduan mereka serta mempunyai tempat pengecas tanpa wayar.

Sistem infortaimennya pula, dilengkapi skrin 7 inci yang mana ia boleh ketersambungan dengan menggunakan apple carplay dan android auto. Cuma, ruang belakang ini tidak mempunyai corong penyaman udara dan ruangnya tidak luas sangat, tetapi agak selesa.


Pengendalian Macam Kereta Sedan

Boleh dikatakan Kona sangat sesuai untuk pemandu yang mahu melihat pemandangan hadapan lebih jelas. Pemandangan cukup baik, kerana SUV ini lebih tinggi berbanding dengan kenderaan sedan biasa dan penulis boleh melihat lebih jauh pada bahagian hadapan.

Pengendaliannya di selekoh, agak mengagumkan memandangkan ia memberi pengalaman seolah-olah memandu sebuah kereta sedan yang lebih rendah. Pada kelajuan antara 130 sehingga 140km/j pada selekoh yang tidak tajam, responsif stereng cukup bagus dan kereta tidak terlalu membuang. Lagi satu, ia masih lagi stabil!


Dalam kabin, ia cukup menyenangkan kerana kurang kedengaran bunyi bising dari luar memasuki ke bahagian dalam. Ternyata kedapan bunyi pada SUV ini boleh diibaratkan anda berada di dalam sebuah SUV premium.

Cuma, apa yang penulis rasa sedikit kekurangan sepanjang beberapa hari memandu SUV ini adalah sistem suspensinya agak sedikit keras sedikit. Mungkin ia dibangunkan untuk memberi pemanduan sporty untuk melayan selekoh dengan baik.


Prestasi Tak Mengecewakan

Kuasa yang dibekalkan dari enjin 1.6 liter T-GDI turbo petrol empat-silinder ini, penulis sangat berpuas hati sepenuhnya. Enjin itu menyalurkan output 177 PS dan tork 265 Nm, pada masa sama ia turut dipadankan dengan transmisi dwi-klac tujuh-kelajuan.

Sepanjang memandunya, penulis lebih gemar menggunakan mod Normal kerana kuasa yang dibekalkan sangat bersesuaian dengan gaya pemanduan santai dan tidak gelojoh.


Jika menukar mod Sport, penulis boleh katakan, prestasi SUV ini sedikit agresif dengan tindak balas pendikit minyak sangat responsif. Cuma ketika mengujinya di laluan berselekoh tajam dengan mod Sport, penulis rasa sedikit susah untuk mengawalnya kerana kuasa yang dibekalkan agak keterlaluan.

Bagi pemandu biasa, rasanya mod Sport itu bersesuaian digunakan untuk mendapat kuasa yang lebih ketika mahu memotong kenderaan lain tanpa rasa bimbang.


Kesimpulan

Sepanjang beberapa hari menguji Kona ini, rasanya macam berat pula untuk menghantarnya pulang kerana jentera ini memang ‘nice’. Memang ia lain dari yang lain terutama reka bentuknya yang cukup bergaya.