Tekno

Pelana Inovatif Sejukan Dan Panaskan Punggung Penunggang, Pembonceng Motosikal

gempak
Erywan
29/06/2020
05:51 MYT
Sponsor Banner
Pelana Inovatif Sejukan Dan Panaskan Punggung Penunggang, Pembonceng Motosikal
Indian Motorcycles sudah ada solusi untuk pemilik motosikal yang tidak mampu menunggang atau konvoi jarak jauh ketika cuaca panas terik atau sejuk melampau.
Pengeluar motosikal Amerika Syarikat, Indian Motorcycles berjaya mencipta pelana dengan baharu iaitu boleh memanaskan atau menyejukkan punggung penunggang serta pemboncengnya.
Dipanggil ClimaCommand Seat, tempat duduk ini direka sebagai solusi kepada pemilik motosikal yang tidak berupaya menunggang atau konvoi jarak jauh disebabkan cuaca panas terik atau sejuk melampau.
Bukan sebagai produk konsep tetapi pelana inovatif itu sudah ditawarkan kepada pemilik motosikal bagger Indian khususnya siri Roadmaster, Chieftain, Springfield dan The Chief.
Sebenarnya, banyak pengeluar sudah menawarkan ciri pemanas grip tangan dan pelana sebagai ciri standard pada motosikal masing-masing. Bagaimanapun, ClimaCommand ada kelainan kerana menawarkan kelegaan tunggangan ketika panas atau bahang.
Ini dianggap sebagai pelana motosikal pertama dunia yang boleh panaskan atau sejukkan punggung penunggang dan pembonceng. Perlu ditekankan bahawa ciri ini tidak sama seperti sistem pemanas, pengudaraan, dan penyejuk (HVAC) yang didatangkan dalam sejumlah model kereta.
ClimaCommand Seat tiada ruang tebuk di dalam pelana untuk mengalirkan udara sejuk. Ia menggunakan modul termoelektrik dalam pelana untuk menjadikan permukaan menjadi sejuk dan memberi kelegaan semasa cuaca atau bahang panas.
Modul ini mengepam keluar haba, manakala satu sistem penyalur membantu untuk menyejukkan modul. Tempat duduk itu diperbuat daripada graphene, sejenis material konduktif tinggi yang mengoptimumkan pengedaran penyejukan atau pemanasan. Disebabkan material ini tidak ditebuk, pelana ini lebih tahan lama dan kalis air.
"Walaupun ada kemajuan dalam pemanasan dan penyejukkan tempat duduk, kita belum melihat satu teknologi penyejukkan yang benar-benar menghilangkan ketidakselesaan semasa cuaca panas dan dengan ClimaCommand, pasukan jurutera kami berjaya menyelesaikan masalah ini,” kata Naib Presiden Alat Ganti, Pakaian dan Aksesori Indian Motorcycle, Ross Clifford.
"Teknologi termoelektrik kami dengan padanan material graphene adalah pengubah trend dan satu lagi contoh pembaharuan inovasi oleh Indian Motorcycle ke pasaran," tambah Clifford.
Kawalan berasingan pada ciri ini membolehkan adanya perbezaan mode untuk pelana penunggang dan pembonceng. Ini bermaksud setiap penunggang dan pembonceng boleh selaras tetapan mengikut keselesaan masing-masing. Mereka boleh pilih salah satu daripada tiga mode membabitkan keadaan panas dan sejuk iaitu rendah, sederhana dan tinggi.
Harga pelana ClimaCommand seat ialah AS$1,199.99 (RM5,147.96) Termasuk penghantaran dan kini boleh ditempah.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live