Akhirnya Honda CBR250RR mula dijual untuk pasaran Malaysia selepas beberapa tahun ia diperkenalkan pada peringkat global. Jentera supersport itu menjadi motosikal paling berkuasa dalam segmen 250cc dua silinder buat masa ini di Malaysia.


Buat pasaran tempatan, ia ditawarkan dengan dua warna iaitu Winning Red dan Mat Gunpowder Black Metallic yang mana harganya dijual pada harga RM25,999. Biarpun agak mahal sedikit berbanding model jenama lain dalam segmen yang sama, CBR250RR sebenarnya mempunyai banyak kelebihan.


Dari segi enjin, ia menggunakan rangkaian kuasa 250cc dua silinder DOHC yang mampu menyalurkan 40hp pada 13,000rpm dengan tork setinggi 25Nm pada 11,000rpm.


Pada masa sama, ia dilengkapi dengan tiga mod tunggangan, selain didatangkan dengan Klac Assist/Slipper dan tidak lupa juga ditawarkan Quick Shifter. Sebenarnya, ciri-ciri itu yang boleh ditemui pada motosikal berkuasa tinggi yang lebih mahal harganya.


CBR250RR yang mempunyai berat 168kg ini juga memiliki tangki minyak 14.5 liter, yang mana penunggangnya tidak perlu mengisi bahan api dengan kerap.


Untuk pengendalian, ia dilengkapi suspensi fork terbalik di hadapan, manakala belakang didatangkan lengan ayun aluminium dengan padanan monoshock Pro-Link System boleh laras.


Kuasa hentian pula diperkuatkan dengan kaliper brek dua omboh di hadapan, manakala tunggal di belakang. Ia juga mempunyai sistem ABS untuk brek hadapan dan belakang.


Sekiranya mahu melihatnya lebih dekat, anda boleh berkunjung ke pengedar Honda Big Wing, Impian X dan Impian berhampiran.