Kelab Mustang Malaysia mencatatkan rekod baharu di dalam Malaysia Book of Records sebagai penganjur perhimpunan Ford Mustang terbesar di negara ini.

Perhimpunan yang diadakan pada 27 September 2020 menyaksikan sebanyak 137 Ford Mustang berhimpun di Pavilion Kuala Lumpur dan pemilik berpeluang seharian beramah mesra serta berkongsi pengalaman berharga.


Dalam majlis terbabit, sijil pengiktirafan disampaikan kepada Presiden Kelab, Alfred C.K. Joseph oleh Ketua Pegawai Operasi Malaysia Book of Records, Encik Christopher Wong.


Kelab Mustang Malaysia ditubuhkan pada tahun 2018, dan semenjak itu ia terus berkembang sehingga memiliki 245 ahli berdaftar. Ia ditubuhkan dengan tujuan berkongsi informasi berkenaan Ford Mustang baharu dan menggalakkan pemanduan yang selamat dan berhemah. Kelab itu juga menyediakan platform kepada pencinta Ford Mustang memupuk hubungan berdasarkan minat yang sama.


Sementara itu, Presiden Kelab Mustang Malaysia, Alfred C.K. Joseph berkata, matlamat pihaknya adalah untuk mengetengahkan perpaduan dan keharmonian semua lapisan masyarakat di dalam negara berbilang kaum ini melalui minat terhadap kereta.


“Sekalung tahniah kepada Kelab Mustang Malaysia kerana menganjurkan acara ini dan mencatatkan rekod baharu,” katanya.