Menjelang pembukaan semula sekolah pada 24hb Jun ini, Perodua telah menyumbang lebih 5,000 pelindung muka oleh rakan niaganya kepada 17 sekolah menengah di daerah Hulu Selangor.


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, sumbangan pelindung muka itu untuk kegunaan pelajar Tingkatan 5 dan 6, guru dan kakitangan sokongan ketika kembali ke sekolah nanti.

“Walaupun pelajar, guru dan kakitangan sokongan akan memakai pelitup muka di sekolah, penggunaan pelindung muka boleh menjadi langkah pencegahan tambahan yang baik.

“Sebagai syarikat yang prihatin dan mengutamakan insan, kami percaya pada pengambilan langkah tambahan dari segi keselamatan, lebih-lebih lagi ketika membabitkan anak-anak kita yang tersayang dan juga mereka daripada golongan yang kurang bernasib baik,” katanya.


Pelindung muka itu mempunyai bahagian pelindung tahan kabus yang diperbuat daripada polyethylene terephthalate untuk penglihatan yang optimum. Kusyen span pada bahagian dahi menghalang kemasukan titisan air manakala jalur elastik boleh dilaraskan untuk pemakaian yang selamat dan selesa.

Perodua juga turut menyumbang pelindung muka kepada Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Selangor yang terletak di Kuala Kubu Bharu.