Perodua mendaftarkan 6,988 kenderaan pada bulan Ogos berbanding 655 unit pada Julai. Peningkatan ini berpunca daripada peningkatan produksi dan pembukaan pusat jualan secara beransur-ansur sejak 16 Ogos lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, pihaknya menjangkakan jumlah pengeluaran dan pendaftaran akan meningkat berkali ganda pada September apabila keadaan kembali normal.

Menurutnya, semua operasi Perodua dihentikan berikutan penutupan di seluruh negara yang diperkenalkan pada 1 Jun 2021 untuk mengawal penyebaran COVID-19.

“Setakat tahun ini (year-to-date), Perodua mendaftarkan 104,933 kenderaan dengan penurunan 12.5% ​​berbanding 119,977 kenderaan yang dijual antara Januari dan Ogos tahun lalu.

"Kami sedang berusaha untuk mengecilkan jurang ini dengan meningkatkan lagi pengeluaran kenderaan dan juga menambahbaik prosedur operasi untuk memastikan keselamatan kakitangan dan pelanggan," katanya.

Justeru itu katanya, berdasarkan faktor waktu dan sumber yang sedia ada, pihaknya menurunkan sasaran jualan kami sebanyak 10.8 peratus kepada 214,000 kenderaan tahun berbanding sasaran 240,000 unit yang diumumkan sebelum ini.

"Keutamaan kami kini adalah memastikan industri automotif dapat terus beroperasi dan bertahan tahun ini. Antara ancaman kepada sektor pengeluaran domestik dan antarabangsa termasuklah peningkatan kes COVID-19 dan juga kekurangan bekalan semikonduktor,” katanya.

Mengenai kekurangan cip semikonduktor, Zainal berkata bahawa Perodua masih memperolehi bekalan yang cukup untuk memastikan pengeluaran berjalan lancar tahun ini dan sebahagian besar tempahan Perodua tertunggak akan dapat dipenuhi dalam tahun ini.

Menurutnya, buat masa ini, bekalan cip semikonduktor masih menjadi isu global dan kami bekerjasama dengan rakan kongsi dan pembekal untuk menghadkan sebarang gangguan yang timbul.